Kecemerlangan versi Cavendish

A
A
A

TOUR de France edisi 2021 telah mengajar kita erti kecemerlangan. Sebelum melangkah ke TDF 2021, pelumba veteran Deceuninck-QuickStep, Mark Cavendish telah dilabel kuda tua yang tidak mampu lagi melakar kecemerlangan karier berbasikalnya.

Namun, The Manxman (gelaran Cavendish) menafikan semua kritikan apabila menyamakan rekod kemenangan perlumbaan peringkat TDF sebanyak 34 kali milik pelumba Belgium, Eddy Merckx.

Selepas kali terakhir menang perlumbaan peringkat TDF pada 1975, rekod Merckx bertahan selama hampir 50 tahun. Ramai menyangka rekod Merckx tidak akan mampu disamakan, apatah lagi dipecahkan. Pelumba yang dianggap mampu menyamakan atau mengatasi rekod Merckx ialah Cavendish yang telah menang 30 perlumbaan peringkat.

Apabila Cavendish dibariskan dalam skuad Deceuninck-QuickStep pada saat terakhir, ramai mempertikai keputusan Patrick Lefevere. Ini kerana pada akhir 2020, sambil berlinangan air mata, Cavendish mengumumkan beliau tidak mempunyai sebarang pasukan untuk musim 2021. Cavendish umpama primadona yang kehilangan seri. Namun, takdir ALLAH tiada siapa mampu melawan.

Cavendish menang empat perlumbaan peringkat TDF 2021 sekali gus menyamai rekod pencapaian Merckx. Penulis menggelar pencapaian Cavendish sebagai the biggest comeback. Nah, apa kaitan cerita Cavendish dengan rangkaian Unifi di Malaysia?

Unifi ialah pembekal rangkaian telekomunikasi di Malaysia. Teknologi maklumat, keupayaan berhubung dan berkomunikasi adalah komponen utama komunikasi. Dalam ekosistem digital masa kini, telekomunikasi adalah asas bagi perniagaan, kerajaan, komuniti dan keluarga untuk menghubungkan serta berkongsi maklumat dengan lancar.

Medium pemindahan isyarat dilakukan menerusi pelbagai cara seperti fiber, medan elektromagnetik, cahaya, kabel dan medium lain. Penulis percaya syarikat Telekom Malaysia (TM) cemerlang dalam membekalkan perkhidmatan. Begitupun, kenapa permohonan untuk mendapatkan Unifi sejak 2018 tidak dapat dilayan dengan bijak?

Penulis berdepan pengalaman pahit ini dalam memohon perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi sejak 2018. Penulis telah tiga kali mengisi borang permohonan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga saat artikel ini ditulis, penulis masih gagal mendapatkan capaian perkhidmatan telekomunikasi 800-megabit sesaat (Mbps) yang mendesak untuk keperluan pekerjaan dan penyelidikan. Beberapa laporan telah dibuat kepada Telekom Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Maklumat yang diterima penulis ialah 50 meter jejarian di luar kawasan kediaman penulis di pinggiran Shah Alam mendapat capaian internet jalur lebar. Sejak 2018, penulis menggunakan rantaian hotspot dan membayar antara RM1,000 dan RM2,000 sebulan kerana penggunaan data tinggi setiap bulan.

Justeru, adakah kita gagal menegakkan hakikat telekomunikasi cemerlang adalah salah satu teras utama dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0)? Komunikasi optik fiber sepatutnya merevolusikan industri telekomunikasi.

Laporan Telekomunikasi Malaysia (LTM) menyebut sektor telekomunikasi dijangka terus berkembang pesat dalam jangka masa ramalan dengan peningkatan penggunaan Internet of Things (IoT) pada sektor yang menghubungkan jalur lebar berwayar dan tanpa wayar.

Menjelang 2029, kebanyakan sambungan mudah alih akan beroperasi menggunakan teknologi 5G. Kerajaan telah menerbitkan data langganan jalur lebar suara dan jalur lebar bermula 2017. Dijangkakan ratusan juta sambungan jalur lebar tetap pada 2025.

Satu persoalan ringkas penulis, apa sudah jadi dengan perkhidmatan Unifi? Dengan pengenalan bekerja dari rumah, semakin ramai menggunakan Unifi sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi, seterusnya menyebabkan penyedia perkhidmatan komunikasi meraih keuntungan berlipat ganda.

Sebenarnya, jika Telekom Malaysia merujuk kepada surah at-Taubah [9:105], ada kemungkinan penyediaan perkhidmatan mereka berada pada tahap sangat cemerlang.

Sekiranya Malaysia mahu menjadi pemain utama dalam IR 4.0, penulis menyarankan perkhidmatan komunikasi mesti segera dinaik taraf menjadi antara yang terbaik di Asia.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)