Punca feri terbakar masih disiasat

Zulinda turut memeriksa feri gantian yang membawa penumpang ke Kuala Perlis semalam.
Zulinda turut memeriksa feri gantian yang membawa penumpang ke Kuala Perlis semalam.
A
A
A

LANGKAWI - Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan sebuah feri milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis terbakar berhampiran Selat Kuah, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan dilakukan bersama Jabatan Laut Malaysia dan pasukan Forensik Maritim Malaysia bagi mengetahui punca kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dua penumpang wanita dan seorang kru lelaki dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan terseliuh di bahagian kaki.

"Kesemua mangsa, iaitu 22 penumpang lelaki dewasa, 24 perempuan dewasa serta enam kanak-kanak termasuk enam kru feri tersebut sebelum itu dikumpulkan di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) yang diwujudkan di ruang ketibaan Terminal Feri Kuah," katanya.

Zulinda berkata, seramai 46 penumpang dihantar pulang menaiki feri ke Kuala Perlis pada 6.00 petang semalam, manakala dua yang berasal dari Langkawi memilih untuk pulang ke rumah.

"Dua orang lagi menetap di Hotel Adya yang dibiayai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi,” katanya.

Zulinda ketika memantau operasi di jeti Kuah.
Zulinda ketika memantau operasi di jeti Kuah.

Semalam, feri Dragon Star 1 tersebut berlepas dari Jeti Kuah pada 2.30 petang membawa 52 penumpang dan enam kru, secara tiba-tiba terbakar selepas 10 minit memulakan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran dipercayai berlaku di bahagian belakang feri, kemungkinan dari bahagian bilik jentera.

Kesemua mangsa diselamatkan oleh bot penumpang Pulau Tuba dan Bagan Selat yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Manakala kerja-kerja memadamkan kebakaran dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dibantu kru feri yang menghulurkan bantuan.

Zulinda berkata, antara agensi yang terlibat sepanjang operasi Carilamat ini, adalah Maritim Malaysia, TLDM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

"Saya nasihatkan pengusaha feri dan bot penumpang agar berhati-hati dan sentiasa memeriksa keadaan pengangkutan masing-masing bagi mengelak kemalangan tidak diingini," katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia juga berharap orang awam melaporkan aduan jenayah dan kecemasan di laut, di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.

ARTIKEL BERKAITAN: Feri bawa penumpang di Langkawi tiba-tiba terbakar