KASA pandang serius isu pencemaran sumber air di Ulu Keratong

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memandang serius kejadian pencemaran sumber air di Ulu Keratong, Rompin, Pahang sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 50,000 penduduk sejak minggu lepas.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya telah turun meninjau keadaan tersebut dan mengarahkan pihak yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya memberi keutamaan kepada dua perkara.

Menurutnya, dua perkara berkenaan ialah memastikan bekalan air dipulihkan dengan segera dan melaksanakan tindakan mitigasi supaya kejadian yang sama tidak berulang.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memasang 'silt-curtain' untuk mengurangkan bahan cemar yang berbentuk pepejal daripada menghampiri kawasan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) sebagai penyelesaian jangka pendek.

"Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga telah menjalankan bacaan kualiti air mentah (parameter asas iaitu bau, pH, kekeruhan dan ammonia) pada Rabu dan mendapati bacaan kualiti air mentah di Sungai Keratong berada pada tahap selamat (boleh dirawat) setelah lima kali bacaan.

"Proses mengepam, mencuci dan merawat telah dimulakan sejak lewat malam semalam (Rabu) dan pemulihan bekalan secara berperingkat yang mana kawasan sekitar loji bakal mula menerima bekalan pada lewat hari ini (Khamis).

"Sebahagian besar kawasan terjejas akan kembali menerima bekalan secara berperingkat dalam tempoh 48 jam dari waktu bekalan mula disalurkan, lebih awal berbanding jangkaan awal pada Ahad ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, JAS Negeri Pahang juga telah mengambil tindakan segera terhadap kilang kelapa sawit yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara tindakan yang dilaksanakan adalah menghentikan operasi kilang kelapa sawit itu dan menggantung lesen pemprosesan buah kelapa sawit bermula 7 Julai lalu sehingga semua kerja-kerja membaiki benteng kolam rawatan efluan siap sepenuhnya.

"Pihak JAS Negeri Pahang juga mengarahkan supaya kilang kelapa sawit ini menjalankan kerja-kerja membaiki benteng kolam yang bocor dengan kadar segera dan melaporkan kerja-kerja pembaikian kolam setiap hari tanpa gagal.

"Kilang kelapa sawit ini diarahkan supaya menyediakan pelan tindakan kecemasan (ERP) bagi menangani kejadian luar jangkaan terutama yang melibatkan insiden pelepasan pencemaran yang serius termasuk pembersihan.

"Audit secara berkala juga perlu dilaksanakan oleh pihak ketiga terhadap lokasi dan prestasi/efisensi sistem pengolahan efluen, keberkesanan sistem aliran dan kaedah pelupusan.

"Pihak kilang kelapa sawit ini perlu menanggung semua kos kerosakan, pembaikan dan pembersihan selaras dengan konsep atau pendekatan 'polluter paysprinciple'," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai tindakan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, JAS telah menambah baik prosedur pengurusan efluen kilang kelapa sawit di seluruh negara.

"Garis panduan ini adalah untuk memastikan efluen kilang kelapa sawit yang lebih terkawal, efisien, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar," kata beliau.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak JAS, SPAN, JPS dan juga operator-operator bekalan air yang turun membantu membekalkan keperluan bekalan air bersih kepada pengguna terjejas.

"Saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama memastikan kelestarian alam sekitar dan segera menghubungi pihak berkuasa bagi melaporkan kejadian pencemaran," ujarnya.