PM ketuai delegasi Malaysia di Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua APEC

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia pada Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual diadakan secara maya pada 16 Julai.

Pemukiman Tidak Rasmi itu yang dijangka dihadiri oleh 21 pemimpin ekonomi APEC, akan berfungsi sebagai peluang penting bagi semua ekonomi untuk menunjukkan respons kolektif dalam bekerjasama untuk melindungi kesejahteraan masyarakat di rantau ini ketika mereka terus berjuang memerangi pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Perdana Menteri dijangka mengetengahkan pandangan kuat Malaysia mengenai pentingnya untuk memperkukuhkan kerjasama global ke arah vaksin Covid-19 yang adil, berpatutan dan dapat diakses untuk semua.

Selain itu, terdapatnya keperluan mendesak untuk kerjasama yang lebih rapat dalam memudahkan pergerakan barangan penting/perlu termasuk vaksin, tambahnya.

"Kerjasama strategik di kalangan ekonomi APEC dalam memulihkan perjalanan rentas sempadan di rantau Asia Pasifik untuk mempercepat pemulihan ekonomi adalah elemen penting lain yang akan diketengahkan oleh perdana menteri," katanya.

Pemungkiman tidak rasmi itu yang secara tradisinya diadakan pada bulan November setiap tahun bagi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) tahunan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Acara ini menyediakan pendekatan signifikan bagi para pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai kemungkinan kerjasama segera dalam memulihkan kesihatan rakyat dan pada masa sama mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Perbincangan strategik ini akan menjadi landasan untuk pertemuan mereka yang berikutnya pada bulan November.

Artikel Berkaitan:

MITI turut menyatakan para pemimpin akan terlibat dalam perbincangan terbuka interaktif yang berkisar pada perspektif global mengenai pemulihan ekonomi dan membendung pandemik, dengan pakar yang dijemput - Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa Kristalina Georgieva dan Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan.

"Ketika ekonomi APEC berusaha gigih untuk membangun kembali ekonomi masing-masing yang terjejas dilanda pandemik, pemukiman tidak rasmi ini juga akan membolehkan para pemimpin bertukar pandangan dan berunding mengenai peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh APEC secara kolektif dalam menangani cabaran semasa dan bergerak ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.

Pada akhir pemukiman tidak rasmi itu, para pemimpin dijangka menggunakan Pernyataan Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC yang akan menyokong pemulihan yang pesat, lestari dan inklusif tanpa meminggirkan sesiapa pun. - Bernama