PN Perak belum bincang kerusi PRU

Zainol Fadzi (empat dari kanan) dan Wan Norashikin (dua dari kanan) membantu memberikan makanan kepada orang ramai di Masjid Al-Ittihariah, Kampung Tengku Hussein, Manjoi pada Khamis.
Zainol Fadzi (empat dari kanan) dan Wan Norashikin (dua dari kanan) membantu memberikan makanan kepada orang ramai di Masjid Al-Ittihariah, Kampung Tengku Hussein, Manjoi pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pembahagian kerusi pilihan raya dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Perak masih belum dibincangkan.

Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, setakat ini ketua-ketua perhubungan kawasan di setiap Parlimen di Perak sudah dilantik membabitkan 11 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas (11) dan dua lagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Menurut beliau, bagaimanapun lantikan ketua perhubungan itu bukan bermaksud kawasan tersebut akan menjadi milik parti diwakili ketua tersebut.

"Contohnya Bersatu jadi pengerusi PN Tambun, bukan semestinya Bersatu akan bertanding di Tambun. Urusan calon dan parti mana bertanding ini diputuskan di peringkat pimpinan tertinggi di pusat bukan di peringkat negeri.

"Negeri boleh berbincang, buat syor, cadangan dan diangkat kepada pusat untuk buat keputusan apabila sampai masa untuk menentukan siapa calon.

"Buat masa ini, arahan yang kami terima menerusi PN kita hanya buat kerja-kerja asas pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Street Kitchen anjuran Restoran D'Legasi dan Warisan bersama NGO Padu Perak dan Sahabat Perak di Masjid Al-Ittihariah, Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini pada Khamis.

Hadir sama pada program tersebut, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang tidak bersetuju jika Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebagai calon PN di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Zainol Fadzi berkata, ketika ini tumpuan lebih terarah untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 berbanding berpolitik, tetapi struktur parti tetap dibentuk untuk memudahkan urusan berkaitan gerak kerja PN Perak.

Mengenai kenyataan Idris sebelum ini, beliau menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi selaku naib presiden.

"Saya rasa masing-masing boleh mengeluarkan pandangan dan kita serah kepada kepimpinan tertinggi dalam membuat keputusan. Pada masa ini, tidak pernah dibincangkan lagi soal calon-calon di setiap kerusi sama ada di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PN Perak.

"Apa yang dibincangkan adalah bagaimana hendak membantu rakyat menghadapi pandemik covid-19," katanya yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak.

Dalam laporan media sebelum ini, Idris secara terbuka menolak pencalonan Syed Abu Hussein untuk kembali bertanding merebut kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU akan datang.

Jelasnya, Pas bersedia membawa perkara itu ke peringkat pimpinan tertinggi parti dalam PN jika penyandang kerusi itu dicalonkan semula.