Wang simpanan lebih RM400,000 lesap angkara Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang jurutera wanita mengalami kerugian RM430,151.55 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 46 tahun menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi pada 25 Mei lalu ketika di rumahnya di Taman Ihsan, Lunas.

Beliau berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai LHDN menyatakan bahawa terdapat tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa sebanyak RM1,200.

"Panggilan kemudian disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka sebelum mangsa bercakap dengan 'Sarjan Shahrizal' yang mengesahkan nama mangsa terlibat dengan pelbagai kes jenayah.

"Selepas itu, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki kononnya anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka bernama Datuk Seri Liu Wai Kit menyatakan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah, serta terdapat waran tangkap ke atas mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Elias berkata, panggilan mangsa kemudian telah disambung semula ke IPK Melaka dengan tawaran untuk menyelesaikan waran tangkap.

"Mangsa diberi tiga pilihan sama ada akan ditahan reman, akaun bank akan dibekukan atau memberi kerjasama dengan pihak polis," katanya.

Menurutnya, mangsa memilih untuk memberi kerjasama dengan pihak polis yang mana perlu mengikut semua arahan yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Akibat terperdaya, mangsa telah membuat pembayaran mulai 23 Mei hingga 8 Julai dengan memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank berbeza melalui pindahan dan mesin deposit wang (CDM) melibatkan 46 kali transaksi berjumlah RM 430,151.55," katanya.

Beliau berkata, wang berkenaan merupakan wang simpanan mangsa, simpanan tetap, hasil gadaian barang emas dan pinjaman bank.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Lunas pada Selasa apabila menyedari dirinya ditipu apabila 'Datuk Lui Wai Kit' gagal dihubungi.

"Mangsa cuba menghubungi semula IPK Melaka untuk pengesahan dan dimaklumkan tiada pegawai polis bernama Datuk Sri Lui Wai Kit yang bertugas di IPK Melaka," ujar beliau.

Elias berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu.