Suami isteri dijel dua tahun dera anak

Muhammad Farid dan Yuliani dibawa keluar dari kamar perbicaraan.
Muhammad Farid dan Yuliani dibawa keluar dari kamar perbicaraan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri dijatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mendera kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun sejak dua tahun lalu.

Hakim, Kamarudin Kamsun turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Farid Rosli, 29 dan Yuliani Chosibah, 38 menjalani bon kelakuan baik selama tiga tahun dan melakukan kerja khidmat masyarakat selama 48 jam.

Sekiranya gagal, kedua mereka perlu menjalani tambahan setahun lagi hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah menganiaya dengan membiarkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Muhammad Farid dan Yuliani didakwa melakukan kesalahan ke atas kanak-kanak berkenaan sejak 2017 lalu sehingga 18 Februari lalu di Pangsapuri Desa Melayu, Jalan Bayu Putri 2, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibicarakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tiri sehingga mengalami kecederaan teruk.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan pihaknya selepas menahan kedua-dua suspek di rumah mereka di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, di sini pada 20 Februari lalu.

“Siasatan terhadap pasangan itu dan soal siasat dijalankan di kawasan itu mendapati penderaan terhadap kanak-kanak itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu,” katanya.