Varian baharu boleh menjangkiti dalam masa 15 saat

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Varian Delta boleh tersebar kepada individu lain yang terdedah hanya dalam tempoh 15 saat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, jangkitan boleh berlaku dengan cepat di tempat yang sempit dan tidak mempunyai ruang udara yang baik.

"Varian baharu ini boleh berlaku dalam tempoh 15 saat sahaja dan berjangkit melalui udara," katanya.

Menurutnya, penilaian yang dilakukan terhadap kontak rapat kes positif mendapati mereka terdedah dalam tempoh 15 minit atau pada jarak kurang satu meter.

"Tempoh masa jangkitan yang singkat itu telah menyebabkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti turut meningkat," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes positif dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 26 Jun lalu.

"Varian Delta merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara lima hingga lapan berbanding varian lain iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga tiga," katanya dalam sidang akhbar khas perkembangan Covid-19 di kementeriannya pada Khamis.

Mengambil contoh penularan di Labuan, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes sehingga 1,340 kes dalam masa seminggu berpunca daripada varian Delta.

Artikel Berkaitan:

"Ia telah menular dalam kalangan pekerja industri perkapalan," katanya.

Menurutnya, kaedah kesihatan awam perlu diteruskan bagi membendung penularan jangkitan itu disamping melengkapkan imunisasi Covid-19.

"Kita dapat mengawal kes jangkitan di Labuan apabila hanya 26 kes dilaporkan hari ini," katanya.

Beliau berkata, varian itu bukan sahaja menjadi dominan di Malaysia, malahan negara-negara lain turut mengalami ancaman sama.

"Kita perlu memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan patuh kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya.