X

Kindly register in order to view this article
!

Kumpul barang keperluan untuk diagihkan kepada penduduk

Amirul Syahir (dua dari kini) memegang barangan keperluan yang dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Barangan Makanan Asasi Mini Foodbank Alor Setar di Pasaraya TSB Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar pada Khamis.
A
A

ALOR SETAR - Pusat pengumpulan barangan keperluan bagi membantu penduduk terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuka di hadapan Pasaraya TSB di Jalan Pegawai di sini.

Pengerusi Mini Food Bank Alor Setar, Amirul Syahir Musa berkata, program berkenaan diadakan bagi mengumpulkan barangan asas untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, pusat pengumpulan barangan keperluan sumbangan orang ramai itu dibuka sejak Isnin lepas sehingga 28 Julai depan untuk diagihkan penduduk sekitar Alor Setar, Pokok Sena dan Jitra pada Ogos depan.

"Penduduk boleh membeli barangan keperluan yang telah dipeketkan dalam nilai RM10, RM30 atau RM50 di pasar raya berkenaan mengikut pilihan untuk membantu penduduk terjejas tersebut.

"Penduduk boleh membeli sambil menyumbang kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Pusat Pengumpulan Barangan Makanan Asasi Mini Foodbank Alor Setar di Pasaraya TSB Jalan Sultan Badlishah, Jalan Pegawai di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah berkata, sehingga kini Mini Foodbank Alor Setar telah membantu lebih 1,000 keluarga di Kota Setar, Jitra dan Pokok Sena sejak diwujudkan pada 2 Januari tahun lepas.

"Setakat ini, kita telah mengumpulkan 200 peket barangan keperluan mengandungi beras, susu, minyak masak, tepung, bihun dan sardin untuk diagihkan kepada penduduk terbabit tidak lama lagi.

"Kita menyasarkan sebanyak 800 keluarga dibantu, sekali gus berharap mengumpulkan 800 peket barangan keperluan dalam tempoh 17 hari pusat pengumpulan barangan itu dibuka," ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah hasil kerjasama GPMS Kuala Kedah, Mini Foodbank Alor Setar, Dakwah Backpakers Malaysia serta Pasaraya TSB.

Sementara itu, Pengarah Urusan TSB Superstore, Ong Kheng Teong berkata, pihaknya memuji usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

"Kita bekerjasama dengan menyediakan ruang untuk penduduk membeli sambil membantu mengumpulkan barangan keperluan, malah kita juga menyediakan tiga jenis peket bantuan demi memudahkan mereka," katanya.

Beliau berkata, selain peket yang dijual mereka, pelanggan juga boleh membeli barangan lain untuk disumbangkan kepada pusat pengumpulan barangan keperluan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!