Kampung Padang Hassan lokasi pertama program MOVAK di Kota Setar

Pengarah Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman (kiri) meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach MOVAK Kampung Padang Hassan pada Khamis.
Pengarah Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman (kiri) meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach MOVAK Kampung Padang Hassan pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kampung Padang Hassan, mukim Lengkuas di sini menjadi lokasi pertama program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bagi pemberian vaksin kepada penduduk khususnya masyarakat luar bandar di daerah Kota Setar.

Pengarah Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF) Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, seramai 350 penduduk setempat di sekitar mukim Lengkuas menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi program MOVAK itu.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kota Setar berkata, program MOVAK ini diharap membantu mempercepatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat di daerah tersebut dan peringkat nasional.

"Di daerah Kota Setar terdapat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Suka Menanti, PPV Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit dan lima klinik kesihatan yang menjadi pusat pemberian vaksin kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di PPV Outreach MOVAK Kampung Padang Hassan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salin, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap, Mohd Zaizulman Zainal Abidin dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Padang Hassan, Rahanah Ismail.

Menurut Mohd Asri Redha, program sebegini sememangnya diperlukan untuk meningkatkan kadar vaksinasi, yang mana setakat ini seramai 72,299 individu bersamaan 15.53 peratus daripada keseluruhan 465,500 penduduk Kota Setar dan Pokok Sena telah menerima suntikan dos pertama.

Katanya, seramai 47,041 bersamaan 10.1 peratus pula telah menerima suntikan vaksin dos kedua.

Artikel Berkaitan:

"Diharap jumlah penerima vaksin di PPV Outreach MOVAK Kampung Padang Hassan, PPV Suka Menanti, PPV Dewan KDN Anak Bukit akan menambahkan kadar pemberian vaksin di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, CITF Kota Setar terus menggerakkan kempen pendaftaran MySejahtera untuk program vaksinasi kepada penduduk.

"Ketika ini, semua pihak sedang berusaha mengekang penularan Covid-19 dan kita harap penduduk dapat sama-sama membantu dengan membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin," katanya.

Sementara itu, penduduk, Muhammad Saad, 47, berkata, dia menyambut baik program MOVAK yang dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, ibunya, Hamidah Ahmad, 84, telah menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui program MOVAK yang dikendalikan sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) itu.