Noh sedia bantu kerajaan Selangor tangani Covid-19

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menawarkan khidmat beliau bagi membantu kerajaan Selangor dalam menangani penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menurut Noh, beliau sebelum ini pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri di peringkat daerahnya bagi mengenal pasti kelemahan dan masalah yang timbul dalam menangani penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu melangkaui fahaman politik dalam memastikan jangkitan wabak dapat dikurangkan di samping meningkatkan pemberian vaksin.

"Daripada pengalaman saya yang pernah buat di kawasan Tanjung Karang, saya sudah nampak di mana kelemahan tertentu dan disebabkan itu, saya mungkin boleh bersama-sama sekiranya diberi peluang bagi memberikan pandangan," katanya dalam satu klip wawancara di laman Facebook beliau pada Rabu.

Tambah Noh, beliau juga bersedia memberi pandangan berhubung pengedaran vaksin sekiranya dibenar menyertai jawatankuasa di peringkat negeri.

Noh sebelum ini pernah menyuarakan teguran kepada kerajaan negeri supaya mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan mengguna pakai fasiliti sedia ada seperti dewan-dewan ketika dalam Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor pada Jun lepas.

Katanya, kewujudan lebih banyak PPV akan mengurangkan jumlah rakyat tertumpu di sesuatu lokasi dan mampu mengurangkan risiko jangkitan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis turut memaklumkan negeri itu telah mencapai pemberian sebanyak 2.3 juta dos vaksin buat penduduknya menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu sekali gus menjadikan negeri itu mencapai jumlah tertinggi pemberian vaksin dengan 12.02 peratus manakala Program Vaksin Selangor (SelVAX) pula mencatat pemberian 57,339 dos pada Rabu.