23 juta kanak-kanak terlepas vaksinasi rutin

 Gambar hiasan 123rf.
Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

MOSCOW - Kemunculan pandemik Covid-19 sejak tahun lepas mengakibatkan gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan hingga mengakibatkan 23 juta kanak-kanak di seluruh dunia terlepas vaksinasi rutin bagi penyakit campak, difteria, dan tetanus, menurut satu kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.

"Seramai 23 juta kanak-kanak terlepas janji temu vaksin asas pada 2020 – pertambahan sebanyak 3.7 juta kes berbanding 2019," kata kedua-dua pertubuhan antarabangsa itu dalam satu siaran akhbar.

WHO dan UNICEF berkata, kemungkinan 17 juta kanak-kanak tidak memperoleh walau satu suntikan vaksin tahun lepas, dan memberi amaran keadaan ini bakal mengakibatkan masalah kesihatan, lapor Sputnik.

"Kemunculan pelbagai wabak penyakit bakal mencetuskan bencana dalam masyarakat dan sistem kesihatan kini sibuk memerangi Covid-19, menjadikan pelaburan untuk program vaksinasi kanak-kanak semakin mendesak selain memastikan setiap daripada mereka menerima vaksin," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebeyesus.

Perkhimatan vaksinasi rutin kanak-kanak di Asia Tenggara dan Mediterranean Timur antara yang terjejas teruk, menurut WHO.

Lebih tiga juta kanak-kanak gagal mendapat suntikan pertama campak manakala 3.5 juta lagi tidak menerima dos pertama vaksin DTP-1, iaitu vaksin tiga serangkai untuk difteria, tetanus, dan pertussis, berbanding 2019.

Inisiatif Agenda Imunisasi 2030, menggabungkan WHO, UNICEF dan Gavi, bertujuan memastikan 90 peratus liputan vaksin utama di seluruh dunia. - Bernama

Artikel Berkaitan: