X

Kindly register in order to view this article
!

'Bayar 4 juta rupiah masuk Malaysia'

Antara PATI yang ditahan menerusi Op Pintas sepasukan polis D3 JSJ Bukit Aman bersama IPD Sabak Bernam di Sekinchan, Selangor pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menceroboh masuk ke dalam negara melalui jalan laut di Sekinchan, Selangor pada Rabu tidak kesampaian apabila dicekup polis.

Op Pintas sepasukan anggota Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 10.30 malam berjaya menahan 32 warga asing.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua warga asing terbabit ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Menurut beliau, operasi dan intipan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam itu telah menahan 10 lelaki warga Indonesia termasuk seorang daripadanya adalah tekong laut ketika mereka turun dari bot.

"Soal siasat suspek kemudian membawa tangkapan 22 PATI termasuk tujuh wanita. Semakan mendapati 12 adalah warga Indonesia dan selebihnya warga Myanmar.

"Mereka ini ditahan tidak lama kemudian di kawasan jeti serta sebuah rumah berhampiran dipercayai tempat sorok PATI," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Polis percaya penyeludupan PATI yang disyaki didalangi warga tempatan dijalankan berdasarkan permintaan.
Polis percaya penyeludupan PATI yang disyaki didalangi warga tempatan dijalankan berdasarkan permintaan.

Fadil berkata, pihaknya kemudian telah merampas sebuah bot, satu telefon bimbit selain wang tunai ringgit Malaysia serta rupiah Indonesia.

Tambah beliau, polis percaya kesemua migran ini baharu sahaja masuk ke Malaysia melalui jalan laut.

"Dipercayai PATI ini perlu membayar 4 juta hingga 5 juta rupiah (anggaran RM1157.31 hingga RM1446.63) seorang untuk masuk ke Malaysia.

"Berdasarkan pengakuan tekong terbabit, dia mengatakan telah buat aktiviti terbabit sejak lebih dua bulan, namun risikan kita percaya kegiatan membawa masuk PATI melalui jeti ini sudah lama berlaku dengan modus operandi bawa PATI menaiki bot dalam jumlah yang tidak ramai iaitu antara dua hingga lima orang pada satu-satu masa," ujarnya.

Katanya, pihaknya percaya penyeludupan PATI yang disyaki didalangi warga tempatan ini dijalankan berdasarkan permintaan.

"Siasatan masih dijalankan dan tekong terbabit telah direman 28 hari, manakala PATI direman 14 hari," katanya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia 18 hingga 56 tahun di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!