Mayat nelayan hilang ditemui

APMM
A
A

MELAKA - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Besar di sini dua hari lepas, ditemui tengah malam tadi di perairan di antara Pulau Besar dan Pulau Dodol di sini.

Dalam satu kenyataan di sini, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, mayat Md Rashid Jizan, 52 ditemui oleh sekumpulan nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 12.40 tengah malam.

"Mangsa ditemui lebih kurang 1.4 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh dua hari lepas sebelum dibawa ke Jeti Pantai Siring untuk pengecaman oleh anak mangsa.

"Mayat mangsa disahkan berdasarkan pakaian terakhir yang dipakainya sebelum dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dua hari lepas, Bernama melaporkan Md Rashid keluar memancing bersama lima rakan dengan menaiki perahu secara berasingan sebelum disyaki terjatuh ke dalam laut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan dikhuatiri hilang]

APMM menerima aduan daripada seorang rakan mangsa tentang kehilangannya pada jam10.45 pagi, Rabu (28/11/2018) sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Amran menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar menggunakan alat bantuan kecemasan persendirian (PLB) yang berfungsi memberi isyarat kecemasan yang tepat bagi tujuan menyelamat sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Beliau berkata, PLB akan menyampaikan isyarat kecemasan kepada sistem Corpas Sarsat iaitu sistem satelit yang digunakan pada masa kini bagi kegunaan operasi pencarian di laut sekali gus memudahkan pasukan penyelamat mengesan lokasi sebenar kejadian. - Bernama