Integriti kehakiman terus tercalar

A
A

KEBELAKANGAN ini negara terus dilanda polemik yang meresahkan. Kali ini melibatkan isu integriti badan kehakiman. Kontroversi tercetus ekoran pendedahan sensasi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer melalui afidavitnya setebal 63 muka surat. Afidavit tersebut dibuat untuk menyokong permohonan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo yang menyaman kerajaan.

Dalam saman tersebut, Sangeet Kaur Deo mendakwa bahawa mahkamah telah tidak berlaku adil dan telus dalam perbicaraan kes mendiang bapanya yang didakwa di bawah Akta Hasutan. Seterusnya beliau turut mempertikaikan tindakan Ketua Hakim Negara yang telah membuat keputusan untuk menghentikan dua siasatan dalaman yang dijalankan oleh badan kehakiman.

Afidavit Hamid telah menyebut berbagai dakwaan salah laku oleh beberapa orang hakim kanan dalam beberapa kes tertentu. Sebahagian daripada hakim-hakim tersebut telah bersara, sementara yang lain-lain masih lagi bertugas. Ekoran pendedahan tersebut, pelbagai pihak telah mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan-dakwaan itu.

Minggu lalu kerajaan mengumumkan persetujuan untuk menubuhkan RCI namun terma rujukan dan keangotaan masih belum diumumkan. Tumpuan sekarang ialah untuk melihat sejauh mana terma rujukan yang akan diberi kepada RCI. Buat masa ini, ramai yang melihat persetujuan kerajaan untuk menubuhkan RCI sebagai satu langkah positif yang amat dialu-alukan.

Intipati dakwaan Hamid dan persepsi rakyat

Antara dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Hamid adalah berkaitan dengan beberapa kes berprofil tinggi, seperti berikut:

i) Kes rayuan Anwar

Mengikut Hamid, panel hakim (koram) yang terlibat sering diarah atau diberitahu apa yang perlu mereka lakukan. Beliau juga mendakwa bahawa Mahkamah Rayuan 'mengepikan' (brushed aside) persoalan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi perbicaraan yang adil kerana mengikut hemat beliau pihak pendakwa raya telah gagal umtuk membuktikan kes mereka terhadap Anwar. Hamid berkata, kes Anwar adalah satu tragedi kehakiman (judicial tragedy) yang memalukan dan mencalarkan integriti badan kehakiman.

ii) Kes Karpal Singh

Mengikut Hamid, sebelum keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh diumumkan, koram yang terdiri daripada tiga hakim terdahulu membuat keputusan untuk membebaskan tertuduh (membuang semua tuduhan). Tetapi seorang hakim tertinggi yang dirujuk oleh Hamid sebagai 'ARLC' (Antogonist of Rule of Law and Constitution) telah memanggil dan memerintah mereka untuk mengekalkan tuduhan. Akhirnya keputusan majoriti bersalah telah dibuat keatas Karpal Singh dengan Hamid sebagai hakim yang mengambil pendirian minoriti tak bersalah.

iii) Kes Indira Gandhi

Kes Indira Gandhi merupakan satu cabaran kepada Perlembagaan kerana ia membabitkan isu pertukaran agama. Perlembagaan memberi hak kepada rakyat untuk memilih agamanya. Maka persoalan timbul di peringkat Mahkamah Rayuan sama ada kes yang melibatkan agama dan peruntukan Perlembagaan harus didengari oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Hamid mendakwa bahawa Ketua Hakim menegur dan berang ke atasnya kerana memberi keputusan yang memihak kepada Mahkamah Sivil.

iv) Kes Nik Nazmi dan Tun M

Dalam kes Nik Nazmi yang dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman pada 2013, Hamid adalah salah seorang panel hakim yang telah membuat keputusan bahawa syarat yang memerlukan rakyat memberi notis kepada polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpuan diadakan adalah tidak sah kerana bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dalam hak asasi manusia. Mengikut Hamid, sekali lagi ARCL telah bertindak membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Dalam kes Tun Dr Mahathir Mohamad, Hamid mendakwa seorang hakim kanan telah memberitahunya bahawa ARCL telah memberi arahan kepada hakim-hakim tertentu agar menolak saman Tun M berhubung dengan cabaran kesahihan dari segi undang-undang pelantikan Tan Sri Rauf Sharif sebagai Hakim Negara dan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada tahun 2017.

v) Beberapa orang hakim kanan didakwa bersekongkol dengan syarikat swasta untuk menipu kerajaan

Hamid mendakwa bahawa kerajaan terdahulu telah memeterai beberapa kontrak dengan syarikat-syarikat swasta yang dimiliki oleh ahli politik atau kroni mereka. Kata Hamid, kerajaan memang tidak ada niat daripada awal lagi untuk melaksana atau mematuhi perjanjian-perjanjian tersebut.

Perjanjian-perjanjian tersebut akhirnya ditamatkan. Penamatan kontrak disusuli oleh saman oleh syarikat swasta ke atas kerajaan untuk mendapat pampasan atau ganti rugi yang besar daripada kerajaan. Hamid menegaskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa malah bertanggung jawab untuk melindungi kerajaan dan rakyat daripada ditipu oleh syarikat-syarikat tersebut melalui skim yang haram dari segi undang-undang.

Hamid telah menyebut kes Leap Modulation Sdn Bhd vs PCP Construction Sdn Bhd yang mana keputusan awal telah diputuskan melalui timbang tara (arbitration) di AIAC KL.

Keputusan awal berpihak kepada PCP. Leap merayu ke Mahkamah Tinggi tetapi kalah. Leap merayu lagi kepada Makhamah Rayuan.

Leap menang dengan keputusan majoriti 2-1 dengan Hamid sebagai Hakim minoriti.

Hamid Sultan
Hamid Sultan

Hamid mendakwa bahawa terdapat unsur-unsur penipuan ke atas kerajaan dalam kontrak-kontrak tersebut di mana hakim-hakim tertentu dan AIAC ikut bersekongkol dengan syarikat swasta untuk mendapat penghakiman persetujuan (consent judgement) di antara kerajaan dan syarikat berkenaan. Akhirnya kerajaan terpaksa membayar pampasan yang besar kepada syarikat berkenaan. Hamid berkata, skim ini adalah satu tipu muslihat yang salah dari segi undang-undang dan wajar dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam kes ini, Hamid telah mengarahkan Pendaftar Makhamah agar menghantar salinan keputusan kepada polis dan SPRM untuk siasatan lanjut.

Reaksi daripada pelbagai pihak

Pendedahan sensasi oleh Hamid telah mengundang berbagai reaksi daripada rakyat serta pihak-pihak yang berkepentingan. Majlis Peguam, Patriots, Persatuan Peguam Sabah, Caucus Parlimen, Lawyers for Liberty, Bersih dan banyak lagi badan-badan sivil yang telah menyuarakan rasa terkejut mereka berhubung pendedahan itu dan mendesak kerajaan agar cepat-cepat menubuhkan RCI untuk membuat siasatan lanjut.

Beberapa bekas hakim kanan seperti Datuk Syed Ahmad Idid dan Datuk Hishamuddin Yunus turut memberi sokongan kepada penubuhan RCI.

Buat masa ini pihak SPRM telahpun memulakan siasatan keatas dakwaan Hamid. Siasatan tersebut boleh diteruskan secara berasingan dari prosiding RCI nanti. Malah RCI boleh memanggil SPRM untuk membantu mereka dengan mengemukakan hasil siasatan mereka.

Sebenarnya apa yang didedahkan oleh Hamid adalah sesuatu yang telah lama disyaki rakyat. Rakyat memang mempunyai persepsi yang kurang senang dan meyakinkan terhadap badan kehakiman. Umum mengetahui bahawa krisis integriti sudah lama menghantui badan kehakiman. Persepsi rakyat ialah ianya menjadi lebih parah dan bertambah teruk di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak. Pun begitu, rakyat sedia memperakui bahawa masalah telah bermula sebelum zaman Najib lagi.

Rakyat masih ingat pendedahan yang telah dibuat oleh Syed Ahmad Idid pada tahun 90-an yang mendakwa kewujudan berbagai salah laku oleh beberapa hakim kanan ketika itu. Dakwaan Syed Idid telah diketepikan begitu saja oleh kerajaan ketika itu. Akhirnya yang menjadi mangsa nya ialah Syed Idid sendiri yang terpaksa atau dipaksa bersara awal.

Rakyat pastinya berharap satu penyudahan yang lebih positif dan bermakna dalam episod kali ini demi untuk memperbaiki dan memulih kembali integriti badan kehakiman.

Pembaharuan di bawah PH

PH telah diangkat oleh rakyat sebagai kerajaan baharu untuk menggantikan BN yang mereka kira dan anggap terlalu korup, melalui manifesto dan janji-janji pilihan raya untuk membersihkan kemungkaran dan salah laku kerajaan yang lepas. Ini termasuk untuk menegakkan satu kerajaan yang telus yang menghormati keluhuran undang-undang dengan berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang (rule of law). Badan kehakiman adalah asas dan tapak kepada keadilan dan sistem kerajaan yang adil (the judiciary is the fountain of justice).

Sekarang PH berkewajipan untuk menunai dan melunaskan janji-janji tersebut (walk the talk). Cabaran penubuhan dan hasil siasatan serta resolusi yang dicadangkan RCI akan menjadi ujian getir kepada kesungguhan serta komitmen PH untuk membawa perubahan dan pembaharuan di bawah naratif Malaysia Baharu yang sering diwar-warkan oleh PH. Rakyat tidak mahu cadangan dan resolusi yang dibuat oleh RCI ini berkesudahan seperti yang telah berlaku kepada beberapa hasil siasatan dan cadangan RCI yang lain-lain yang akhirnya tidak ke mana.

Kita doakan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang lebih gemilang. In sha ALLAH.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.