Bekas pembantu saman Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Presiden PKR itu berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman Anwar tiga tahun lepas.

Saman itu difailkan Muhammed Yusoff Rawther, 28, selaku plaintif, menerusi Tetuan Abd Halim Ushah & Associates, di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu dengan menamakan Anwar, 73, sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit defendan iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India, kepada defendan.

Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya dan beliau juga menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan.

Dakwanya, defendan ketika itu jelas kelihatan marah dan kecewa dan sebelum beredar defendan memberitahu plaintif, "I want to do this again" (Saya mahu melakukan ini semula) yang mana plaintif menjawab bahawa beliau sama sekali tidak akan berdua-duaan di dalam bilik dengan defendan.

Selepas kejadian itu, Muhammed Yusoff mendakwa tiada sebarang komunikasi antara mereka untuk tempoh lebih kurang sebulan, namun plaintif masih bekerja dengan defendan di pejabat itu sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Plaintif, yang meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun 2019, berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019 dan plaintif telah menjalani ujian poligraf (mengesan pembohongan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 17 Disember tahun sama dan mendakwa defendan enggan menjalani ujian berkenaan.

Menurut Muhammed Yusoff, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mental plaintif kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik yang menyokong Anwar serta orang awam.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mahajoth Singh yang mewakili plaintif ketika dihubungi Bernama pada Khamis melalui aplikasi WhatsApp mengesahkan tuntutan saman itu difailkan pada Rabu dan pihaknya masih belum menyerahkan salinan tuntutan saman kepada Anwar.

“Kami sedang menunggu untuk mendapatkan writ meterai untuk diserahkan kepada Anwar. Setakat ini, mahkamah belum menetapkan tarikh,” katanya. - Bernama