Bekas ADUN Batu Maung didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pula

Mansor hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Mansor hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Ir Mansor Musa didakwa lagi pada Khamis, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.22 juta.

Mansor bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru itu sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas 106 pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-42, beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram; antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, pembelian saham, memindahkan wang dan pembayaran kepada kontraktor melalui beberapa syarikat.

Atas tuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58, tertuduh yang juga seorang pengerusi di sebuah koperasi hartanah didakwa menerima, menggunakan dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFAPUAA).

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan cawangan Starparc Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 dan Mei 2015.

Kes dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhamad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk M Selva.

Semasa prosiding, Faridz Gohim mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius.

Bagaimanapun, Selva merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang lebih munasabah.

“Anak guam saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa, malah beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin, Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta sekitar September 2011 hingga Ogos tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas ADUN didakwa 106 pertuduhan rasuah lebih RM11 juta