Aidiladha: Patuh SOP, jangan buat makan senyap-senyap

Dr Nor Azimi (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada penerima vaksin di Pulau Kapas, Marang pada Khamis.
Dr Nor Azimi (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada penerima vaksin di Pulau Kapas, Marang pada Khamis.
A
A
A

MARANG – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi mengelak tercetusnya kluster baharu.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, beliau tidak mahu tindakan segelintir individu yang melanggar SOP dengan mengadakan pertemuan keluarga dan kenduri secara senyap-senyap menjadi penyebab peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

“Minggu depan Hari Raya Haji, risau juga kerana kita tahu akan ada yang melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan). Mungkin ada yang membawa virus bersama, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari negeri situasi Covid-19 sangat mencabar.

“Memang kita sudah sediakan SOP lakukan korban, tetapi kita bimbang pertemuan keluarga dan ada yang buat makan-makan secara senyap-senyap boleh sebabkan kluster baharu timbul selepas raya seperti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Jadi harapan kami, boleh adakan korban tetapi masih dalam ruang lingkup SOP yang telah ditetapkan. Kita kena jaga Terengganu apatah lagi kita sudah berjaya kawal situasi Covid-19 dengan baik sebelum ini, itu semua tugas kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Jelajah Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Siri Pertama di Pulau Kapas di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, kes jangkitan Covid-19 di Terengganu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kluster baharu serentak melibatkan daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut itu menyebabkan Terengganu melaporkan tiga digit kes Covid-19 dalam tempoh dua hari berturut-turut selepas hanya dua angka selama tiga minggu.

“Punca utama berlakunya kluster besar serentak kerana adanya aktiviti berhimpun anak beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan, tetapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku menyebabkan ia merebak dengan pantas.

“Kita akan laksanakan saringan bersasar besar melibatkan beberapa kampung, sebab itu kita dapati kes akan meningkat dengan banyak. Kita harap dengan aktiviti pantas ini kita boleh kawal kluster ini dengan lebih cepat,” katanya.

Pada Rabu, Terengganu merekodkan empat kluster baharu dalam tempoh dua hari berturut-turut iaitu Kluster Bukit Tok Bat, Kluster Murni Perdana, Kluster Gajah Mati Bukit Besi dan Kluster Pulau Serai.

Sebanyak 189 kes positif Covid-19 direkodkan di Terengganu pada Rabu dengan satu kematian.