Enam ditahan disyaki merusuh

Tok Beng Yeow
Tok Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat dalam satu kejadian merusuh dengan bersenjatakan parang di tepi jalan Lorong 4, Kulai Besar pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan menerusi panggilan telefon daripada seorang individu mengatakan anak lelakinya telah diserang oleh beberapa suspek dengan bersenjatakan parang di lokasi tersebut.

Menurut beliau, individu terbabit memaklumkan anak lelakinya yang berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan tapak kaki serta dirawat Hospital Temenggong Kulai.

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis menahan enam lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun menerusi operasi yang dijalankan bermula jam 8 hingga 9.15 malam pada Rabu di kawasan Indahpura Kulai.

"Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan itu serta berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Katanya, semua suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

"Salah seorang daripada suspek dipercayai merupakan ahli kongsi gelap Geng 04 berdasarkan tatu di badannya. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Polis masih mengesan senjata yang digunakan suspek serta suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam pergaduhan ini," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 48 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.