USIM pulang, kurangkan yuran pelajar bernilai RM4 juta

Kenyataan media berkenaan pemulangan semula yuran kepada pelajar USIM.
Kenyataan media berkenaan pemulangan semula yuran kepada pelajar USIM.
A
A
A

SEREMBAN - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan pemulangan dan pengurangan tiga jenis yuran membabitkan keseluruhan bernilai RM4 juta.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam satu kenyataan berkata, pemulangan itu membabitkan dua jenis yuran iaitu yuran perkhidmatan dan yuran asrama.

Menurut kenyataan itu, terdapat pengubahsuaian kadar yuran konvokesyen apabila pelaksanaan majlis konvokesyen yang hanya dijalankan secara ringkas dan tidak membabitkan banyak kos.

"USIM amat prihatin dengan maklum balas daripada pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan dalam isu yuran pelajar ketika pandemik Covid-19 ini.

"Justeru, kami telah melaksanakan pemulangan yuran pelajar atas beberapa jenis yuran yang dikenakan memandangkan majoriti pelajar menjalani pembelajaran dalam talian dan tidak menikmati beberapa kemudahan yang ada di kampus," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, USIM akan mengekalkan langkah berkenaan dengan tidak mengenakan yuran terbabit apabila bermula semester baharu kelak, jika pelajar masih tidak dapat pulang ke kampus untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa.

"USIM berharap pengurangan yuran dapat membantu pelajar mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang sesuai bagi mengikuti kelas masing-masing," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: