X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Jumlah penduduk Malaysia kini 32.7 juta

Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2021 dianggarkan sebanyak 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus.Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2021 dianggarkan sebanyak 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan kadar pertumbuhan itu disebabkan bilangan penduduk bukan warganegara yang lebih rendah iaitu daripada 3.0 juta (tahun 2020) kepada 2.7 juta (tahun 2021).

“Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

“Kadar pertumbuhan penduduk warganegara kekal stabil pada 1.0 peratus dengan pertambahan daripada 29.7 juta pada tahun 2020 kepada 30.0 juta pada tahun 2021,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, komposisi penduduk warganegara pada tahun 2021 meningkat kepada 91.8 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun 2020 (91.1 peratus).

“Komposisi penduduk bukan warganegara pula terus menurun daripada 8.9 peratus kepada 8.2 peratus bagi tempoh yang sama,” ujar beliau.

Mohd Uzir berkata, pada tahun 2021, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing seramai 16.8 juta dan 15.9 juta.

“Nisbah jantina ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Bagi tempoh tahun 2020 dan 2021, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) bagi tahun 2021 menurun kepada 23.0 peratus berbanding 23.3 peratus pada tahun 2020.

“Komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) juga menurun daripada 69.7 peratus pada tahun 2020 kepada 69.6 peratus pada tahun 2021.

“Ini disebabkan oleh penurunan penduduk bukan warganegara yang kebanyakan terdiri daripada pekerja asing,” ujarnya.

Tambah beliau, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.4 peratus bagi tempoh yang sama.

“Umur penengah turut meningkat daripada 29.3 pada tahun 2020 kepada 29.6 tahun pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, peratusan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas di negara ini mencatatkan peningkatan tahun ke tahun.

Berdasarkan unjuran penduduk 2010-2040, beliau berkata, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada tahun 2030 dengan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Pada tahun 2021, penduduk berumur 60 tahun dan lebih meningkat kepada 3.6 juta (11.2 peratus) berbanding 3.5 juta (10.7 peratus) pada tahun 2020,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut berkata, daripada 30.0 juta penduduk warganegara, komposisi bumiputera meningkat 0.2 peratus kepada 69.8 peratus pada tahun 2021 berbanding 69.8 peratus pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, komposisi penduduk Cina menurun kepada 22.4 peratus (2020: 22.6 peratus) manakala India dan lain-lain masing-masing kekal pada 6.8 peratus dan 1.0 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada tahun 2021 ialah Selangor (20.1 peratus) diikuti Sabah (11.7 peratus) dan Johor (11.6 peratus).

“Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus.

“Bagaimapaun, Putrajaya mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan tertinggi bagi tempoh 2020-2021 iaitu 5.4 peratus,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!