Pesara kerajaan tabur bakti bantu masyarakat terjejas ketika Covid-19

Latiffah (kiri) mewakili KPMS menyerahkan sumbangan kepada sebuah rumah jagaan warga emas di Bukit Beruntung baru-baru ini.
Latiffah (kiri) mewakili KPMS menyerahkan sumbangan kepada sebuah rumah jagaan warga emas di Bukit Beruntung baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pencen tidak menghalang ahli Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) untuk menabur bakti dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Ditubuhkan sembilan bulan lalu ketika negara dilanda Covid-19, kelab dianggotai hampir 300 pesara kerajaan itu turut membantu golongan terjejas ketika pandemik.

Yang Dipertua KPMS, Latiffah Sidek berkata, dengan moto 'from old to old', kelab tersebut banyak menumpukan sumbangan kepada golongan warga emas khususnya asnaf.

Menurutnya, sebanyak lapan pusat jagaan warga emas telah disalurkan sumbangan berupa keperluan asas makanan, lampin pakai buang dan cecair pembasmi kuman dan peruntukan tersebut dikumpulkan hasil sumbangan ahli-ahli.

"Sempena Aidiladha ini pula, kami bakal mengagihkan daging korban kepada asnaf, sebanyak 200 ternakan korban ( lembu, kambing serta unta) terkumpul setakat ini dan jumlah tersebut dijangka bertambah dari masa ke semasa.

"Covid-19 tidak menghalang kami untuk aktif. Pergerakan terhad ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mesyuarat dan aktiviti dilakukan secara dalam talian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, kelab tersebut mulanya ditubuhkan untuk merapatkan ukhuwah sebelum fungsinya dipelbagaikan supaya kekal relevan dan berbeza daripada kelab-kelab lain.

"Kelab kami bernaung di bawah Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan turut mendaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Artikel Berkaitan:

"Selain aktiviti kemasyarakatan, kami juga berkomunikasi dan beraktiviti secara dalam talian termasuk sesi perbincangan mengenai topik semasa, bacaan Yassin serta mengaji al-Quran," katanya.

Tambahnya, kelab tersebut dibarisi pesara kerajaan dan juga swasta terdiri pelbagai kategori termasuk kumpulan profesional terdiri daripada pengarah jabatan, peguam, pensyarah serta doktor.

"Besar harapan saya supaya kami dapat menyumbang kepakaran kepada masyarakat seperti ceramah motivasi atau khidmat kaunseling atau pemulihan dadah dan lain-lain.

"Kami mahu menjadikan KPMS sebagai medium buat pesara. Jangan jadikan alasan bersara untuk hanya duduk di rumah atau menjaga cucu sebaliknya peruntukkan masa sendiri untuk aktif bersosial supaya kekal aktif, ia dapat jaga kesihatan anggota badan dan juga kecerdasan otak," katanya.