Magis Messi belum setanding aura Maradona

Messi meraikan kejayaan menjuarai Kejuaraan Copa America 2021 selepas menewaskan Brazil pada perlawanan akhir di Stadium Maracana. - Foto Copa America
Messi meraikan kejayaan menjuarai Kejuaraan Copa America 2021 selepas menewaskan Brazil pada perlawanan akhir di Stadium Maracana. - Foto Copa America
A
A
A

KEJAYAAN Lionel Messi membantu Argentina menjulang kejuaraan Copa America 2021 sekaligus mengakhiri kemarau 28 tahun kejuaraan utama La Albiceleste masih tidak dapat menandingi impak maksima ditinggalkan legenda sepanjang zaman, Diego Armando Maradona.

Ikon bola sepak Argentina, Mario Kempes percaya pencapaian Messi membawa pulang kejuaraan berprestij bola sepak benua Amerika Selatan itu ke ibu kota Buenos Aires juga tidak membantunya melonjak ke tahap tertinggi seperti dibuktikan bekas peledak Napoli tersebut.

"Tuah sebenarnya tidak menyebelahi Messi disebabkan dia muncul dalam arena bola sepak selepas kehadiran Diego Armando Maradona yang menjadi idola tidak hanya komuniti bola sepak tetapi juga seluruh dunia.

"Impak ini sukar disaingi Messi, malahan sekiranya dia berjaya menjulang empat kejuaraan Piala Dunia belum tentu mampu mengatasi aura Diego Armando Maradona.

"Tambahan pula Messi masih lagi belum menjulang kejuaraan ibu segala bola sepak iaitu Piala Dunia. Jadi kesimpulannya, sebanyak mana Messi menjulang kejuaraan atau kejuaraan Messi miliki, dia tetap masih mampu menandingi Diego Armando Maradona," kata Kempes antara watak penting ketika membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1978.

Messi sebelum ini mengakhiri kemarau kejuaraan utamanya ketika membantu Argentina mengatasi Brazil 1-0 pada perlawanan akhir Copa America 2021 di Stadium Maracana.

Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini juga gagal meraih sebarang kejuaraan trofi utama dalam tiga perlawanan akhir Copa America dan satu perlawanan akhir Piala Dunia bersama La Abliceleste.

Perdebatan isu Messi dan Maradona telah berlanjutan beberapa tahun menyebabkan dalam kalangan penyokong-penyokong mereka berbelah bahagi.

Artikel Berkaitan:

Biarpun begitu, Messi berkongsi pandangan sama dengan Kempes apabila memperkatakan mengenai bekas tonggak Boca Juniors tersebut.

"Sekiranya saya bermain 1,000 tahun lagi pun, belum tentu saya dapat menandingi Diego Armando Maradona, bukan saya tidak mahu tapi dia merupakan yang terbaik pernah wujud," katanya.