X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

10,000 penduduk pulau di Terengganu akan divaksin

Dr Nor Azimi (kanan) memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Kapas.
A
A

MARANG - Seramai 10,000 penduduk dan pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di Terengganu dijangka selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 selewat-lewatnya penghujung Oktober nanti.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, empat pulau tersebut melibatkan Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus, Pulau Perhentian di Besut dan Pulau Tenggol di Dungun.

Menurutnya, selain pulau, jumlah itu turut melibatkan pengusaha dan pekerja pelancongan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Memberi suntikan kepada penduduk pulau juga menjadi keutamaan kerana kawasan pulau dan Tasik Kenyir merupakan lokasi tumpuan pelancong, jadi mereka perlu diberi suntikan awal dengan Pulau Kapas menjadi lokasi pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Jelajah Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Siri Pertama di Pulau Kapas, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Pada program itu, seramai 60 pengusaha resort, pemandu bot dan pekerja pelancongan termasuk 14 warga asing di Pulau Kapas menerima suntikan dos pertama vaksinasi bagi siri pertama program jelajah ke pulau-pulau.

Dr Nor Azimi berkata, selepas Pulau Kapas, program itu akan diteruskan di Pulau Redang, Kuala Nerus pula pada minggu depan dengan jangkaan kira-kira 2,000 penduduk dan pemain industri pelancongan menerima suntikan.

Katanya, pemberian vaksin lengkap dua dos kepada penduduk pulau perlu diselesaikan sebelum November atas faktor peralihan Monsun Timur Laut yang menyukarkan petugas bergerak ke sana.

“Vaksin CanSino masih belum diterima walaupun sekarang sudah mahu masuk bulan Ogos. Kami bimbang tengkujuh akan mula jadi kami akan gunakan vaksin jenis Pfizer yang mana bekalan Pfizer tidak ada masalah sehingga akhir tahun ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!