X

Kindly register in order to view this article
!

Ikut ketetapan agama kawal Covid-19

Abdul Hadi Awang
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan naratif dalam menghadapi pandemik Covid-19 perlu mengikut ketetapan agama yang mengutamakan keselamatan nyawa.

Namun begitu, jelasnya, keutamaan lain seperti ekonomi boleh diuruskan secara serentak dengan sistematik.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya terpengaruh dengan kaedah yang digunakan negara Barat menangani Covid-19 iaitu masih kekal menjalankan kegiatan ekonomi secara bebas, termasuk berlakunya perhimpunan tanpa sempadan.

"Malah, ada yang meletakkan konsep kebebasan tanpa mempedulikan soal keselamatan nyawa, selain menjadikan hiburan sebagai keutamaan walaupun mengancam nyawa dan akal.

"Masalah utama ialah nafsu untuk mengejar kemewahan yang lebih daripada keperluan bagi menjaga nyawa, sehingga tanpa sedar bersikap rakus sehingga nyawa terancam dengan kerakusan itu.

“Sebarang bencana yang berlaku hendaklah diutamakan mengikut ketetapan agama. Ia yang mengatur seluruh kehidupan manusia dengan sempurna. Utamakan keselamatan nyawa terlebih dahulu apabila membuat pilihan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertanggungjawab dalam mengatur kegiatan ekonomi perlu untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat secara keseluruhnya.

Tambahnya, hal itu penting bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa wabak dan mengawalnya daripada merebak secara meluas tanpa mematikan keperluan hidup rakyat.

Menurut beliau, kerajaan PN telah menggerakkan kakitangan kesihatan, pasukan keselamatan dan anggota lain bagi mencegah, mengawal pergerakan serta memberi rawatan yang melibatkan kerajaan dan masyarakat.

“Kerajaan PN bertindak melakukan kawalan tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara. Disertakan lagi dengan peruntukan bantuan yang besar jumlahnya dan disalurkan secara langsung kepada mereka yang paling berhajat dalam tempoh keadaan darurat ini.

“Walaupun adanya pelbagai bentuk sekatan, namun kerajaan tidak mematikan aktiviti kelangsungan hidup dengan cara yang terkawal.

“Hanya mereka yang kerjanya mencari kesalahan dan kelemahan sahaja, memungut senarai sekatan tanpa peduli akan keperluan untuk kegiatan berjalan di lapangan rakyat,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!