Tourism Selangor anjur LiveTalk sempena ulang tahun ke-20

Tourism Selangor
Tourism Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Tourism Selangor meraikan ulang tahun penubuhannya ke-20 menerusi penganjuran 'Tourism Selangor’s LiveTalk - Episod 2' yang disiarkan secara maya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Pada sesi tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut berkesempatan menyampaikan amanat beliau menerusi paparan satu klip video khas.

Menurut Amirudin, usaha Tourism Selangor menjejaki dan mempromosikan tempat pelancongan di negeri ini berjaya menarik minat lebih 30 juta pelancong pada tahun 2019.

"Ia sekali gus membawa kesan ekonomi serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

"Justeru, sempena ulang tahun ke-20, semoga kita terus kekal berusaha mendepani segala cabaran untuk kembali menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia mahupun antarabangsa," katanya menerusi video tersebut.

Sesi yang dianjurkan itu melibatkan barisan panelis iaitu Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Selangor, Syed Mohd Fariz Syed Mansor Al Idrus.

Sementara itu, Azrul Shah berkata, Tourism Selangor telah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 20 tahun bagi mencapai penanda aras tersendiri.

”Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang pernah terlibat dengan Tourism Selangor secara langsung atau tidak selama 20 tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Tidak dilupakan juga kepada media yang sentiasa memberikan sokongan kepada inisiatif promosi pelancongan Tourism Selangor," kata beliau.

Menerusi sesi LiveTalk tersebut, Tourism Selangor turut melancarkan sebuah lagu korporat rasmi mereka yang julung kali diperdengarkan kepada umum.