Covid-19: Varian Delta belum dikesan di Sibu

Walaupun, varian Delta Covid-19 sudah dikesan di Sarawak namun sehingga hari ini belum ada kes varian itu berlaku di Sibu. Gambar hiasan
Walaupun, varian Delta Covid-19 sudah dikesan di Sarawak namun sehingga hari ini belum ada kes varian itu berlaku di Sibu. Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Walaupun varian Delta Covid-19 sudah dikesan di Sarawak namun sehingga hari ini belum ada kes varian itu berlaku di Sibu, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (SDDMC), pada Khamis.

SDDMC dalam kenyataan berkata, desas-desus yang tular bahawa varian tersebut sudah dikesan di Sibu berkemungkinan berpunca daripada kes seorang warga Indonesia yang telah dikesan positif Covid-19 pada 7 Julai lepas dan sedang dirawat di Hospital Sibu.

“Saringan tersebut tidak dapat mengenal pasti jenis varian yang menjangkiti beliau dan sampel telah dihantar ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 12 Julai lepas untuk ujian seterusnya. Menurut Unimas, proses ujian pengesanan atau mengenal pasti jenis varian amat rumit dan akan mengambil masa satu hingga dua minggu,” katanya.

SDDMC berkata, kontak kes tersebut telah disaring dan mereka semua didapati negatif Covid-19 namun, masih ditahan di pusat kuarantin di sini.

Jawatankuasa itu menyeru semua pihak agar tidak menyebar matlumat tidak sahih mengenai perkara tersebut namun menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan meningkatkan kepatuhan kepada SOP sedia ada, memandangkan varian Delta sudah dikesan di Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: