Parti politik digesa lebih bijaksana kritik kerajaan: Saifuddin

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak termasuk parti politik digesa lebih bijaksana dalam mengkritik kerajaan menangani penularan Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pandemik Covid-19 yang dihadapi negara adalah serius dan luar biasa.

"Sebab itu saya harap sebijak mana pun kita, apa yang disuarakan mestilah dapat membantu negara menyelesaikan masalah," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Kesihatan Mental pada Khamis.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan namun haruslah berdasarkan fakta dan sains.

"Maksud saya, kita boleh sahaja bercakap apa sahaja tetapi biarlah berpandukan kepada fakta dengan matlamat untuk memperbaiki keadaan.

"Saya mungkin seorang ahli politik yang petah berbicara dan boleh berbicara dengan panjang lebar.

"Tetapi pada akhirnya rakyat akan menilai adakah yang saya bicarakan itu membantu menyelesaikan masalah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kempen Kerajaan Gagal yang giat dilaksanakan di platform media sosial dan di lapangan bagi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berundur daripada terus mentadbir negara.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen 'kerajaan gagal' tepat, kata Ku Li

Saifuddin berkata, petugas kesihatan dan barisan hadapan sedang berhempas-pulas untuk menyelamatkan nyawa seluruh rakyat.

"Kalau kita tularkan apa-apa pandangan, gambar dan video (boleh) menyebabkan frontliners bertambah pening serta runsing, itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah," katanya.