KKMM, polis bekerjasama pantau video, gambar bunuh diri

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bekerjasama dengan polis bagi memantau penyebaran video dan gambar bunuh diri di media sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu yang kini dilihat menjadi trend.

"Siasatan akan dilakukan oleh polis dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar Program Kesihatan Mental, pada Khamis.

Menurutnya, penyebaran itu dikhuatiri boleh menyebabkan individu lain turut mengambil tindakan membunuh diri.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengambil langkah dengan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan Facebook dan media sosial lain agar ia diturunkan daripada dipaparkan," katanya.

Tambah beliau, pihak media juga disaran memfokuskan terhadap bantuan yang dihulurkan kepada individu yang berhadapan masalah mental.

"Elakkan stigma dan perkara-perkara yang mengaibkan individu serta keluarga mereka dalam laporan berita.

"Perlu ada kefahaman bahawa (masalah) ada jalan penyelesaiannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, KKMM menubuhkan pasukan Pelan Komunikasi Sokongan Mental bagi membantu individu terkesan akibat Covid-19 sehingga ada yang terpaksa berhadapan masalah lebih serius.

Menurutnya, tumpuan kementerian lebih kepada pelan komunikasi dengan menganjurkan program khas iaitu slot kesihatan mental di radio dan stesen televisyen.

"Slot kesihatan ini disiarkan selama 30 minit di program Selamat Pagi Malaysia dengan menampilkan penceramah daripada pelbagai latar belakang," katanya.

Tambah Saifuddin, program tersebut diadakan secara interaktif bagi membolehkan penonton membuat panggilan telefon semasa bersiaran.

"Setakat ini, sebanyak 44 siaran telah dibuat dan sambutan sangat menggalakkan dengan sekitar 1.5 juta penonton," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang memperluaskan program itu melalui kerjasama dengan stesen televisyen swasta dan akhbar-akhbar tempatan.

"Kita sedang melihat bagaimana program ini diperluaskan dalam bahasa lain selain Melayu," katanya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)