Ekuin muda negara galas cabaran di Belanda

Empat daripada lima ekuin kebangsaan yang layak ke Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 (WEC Jr 2021) di Ermelo, Belanda pada 6 September depan. - Foto Facebook Equestrian Association of Malaysia.
Empat daripada lima ekuin kebangsaan yang layak ke Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 (WEC Jr 2021) di Ermelo, Belanda pada 6 September depan. - Foto Facebook Equestrian Association of Malaysia.
A
A
A

LIMA ekuin kebangsaan berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2021 (WEC Jr 2021) di Ermelo, Belanda pada 6 September depan selepas bertungkus lumus menjalani latihan dan kejohanan kelayakan di luar negara.

Pengurus pasukan, Wan Mohd Kamaluddin Wan Yussof berkata, lima ekuin itu layak selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam empat kejohanan di Jerman, Perancis, Itali dan Poland baru-baru ini.

Ekuin negara itu terdiri daripada Muhammad Fariz Haikal Mohd Hassan Saari yang berusia 21 tahun, Anfal Insyirah Abu Talib, 15, Nur Qasrina Amani Zakaria, 20, An Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar, 19, dan Muhammad Yusuf Luqman Zakaria, 19.

“Alhamdulillah prestasi mereka sangat baik, kerana hampir 100 peratus menyelesaikan (120KM) untuk semua kejohanan. Kesemuanya beraksi dengan baik di Buch, Jerman; Compiegne, Perancis; Torgnon, Itali, dan yang terakhir, kejohanan di Kliczkow Poland.

“Kita berharap dengan prestasi atlet dan kuda yang dipamerkan di empat negara tersebut, mereka mampu untuk mencapai kedudukan lima pasukan teratas dalam acara CEIYJ2* 120KM.

"Pada 2015 kita tidak dapat apa, 2017 pun tidak dapat apa, dapat individu tempat ke-11. 2019 dapat tempat kelima, jadi ini pun kita sasarkan lima terbaik,” katanya ketika dihubungi.

Pencapaian terbaik pasukan Malaysia di bawah payung Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) adalah ketika meraih tempat keempat pada saingan edisi 2013.

Beliau turut gembira apabila pasukan negara beraksi dengan baik ketika pusingan kelayakan walaupun persediaan dibuat pada saat akhir susulan pandemik Covid-19 yang menghalang mereka menjalankan latihan dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kamaluddin menyifatkan kuarantin wajib 14 hari buat atlet yang pulang ke tanah air pada hari ini sebagai rintangan terbesar apabila terpaksa menjalani kuarantin di sebuah hotel dan tidak boleh melakukan latihan berat bagi menjaga momentum.

“Mereka kuarantin di hotel, jadi agak sukar sebab mereka tidak dibenarkan keluar daripada bilik. Jadi, untuk menjaga prestasi semasa, mereka perlu cukup makan dan cukup tidur, dan buat senaman ringan.

“Itu sahaja yang mereka boleh buat, jadi apabila selesai kuarantin mereka kena dapatkan balik momentum. Itu antara kekangan atlet waktu Covid-19 ini,” katanya.