Pasangan suami isteri antara tujuh individu ditahan AADK

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri antara tujuh individu disyaki penagih dadah ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Aduan di sekitar Padang Terap, semalam.

Ketua AADK Daerah Padang Terap, Zainol Abidin Ismail berkata, pasangan suami isteri berumur 30-an itu ditahan di rumah mereka di Felcra Kubang Kenyeng pada 10.30 malam bersama seorang anak perempuan mereka berumur enam tahun.

"Sepuluh anggota AADK terlibat dalam operasi dua fasa iaitu operasi pada sebelah pagi yang bermula 8 pagi tertumpu di Kampung Mani, Kampung Bukit Indin dan Kampung Bendang Raja, di mana tiga lelaki ditahan.

"Dalam operasi sebelah malam yang bermula 10 malam hingga 2 pagi pula, pasangan suami isteri itu serta seorang lelaki dan wanita lain ditahan di Felcra Kubang Kenyeng dan Bukit Nambua," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zainol Abidin berkata semua individu berumur 20-40 tahun yang bekerja sebagai petani dan penganggur itu dibawa ke Pejabat AADK Daerah Padang Terap dan selepas ujian saringan air kencing, didapati mereka positif dadah jenis syabu dan opiat.

Beliau berkata, semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Dan Pemulihan) 1983. - Bernama

Artikel Berkaitan: