Perkenalkan 'windfall tax', cukaikan syarikat kaya raya

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu dan mengalihkan peruntukan dana berkenaan kepada sektor perkhidmatan penting dalam mendepani krisis Covid-19 yang luar biasa.

Selain itu, Dr Mahathir turut menegaskan kerajaan perlu menyalurkan peruntukan lebih besar terhadap usaha menangani isu kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan teruk akibat pandemik.

Jelas pengasas Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) itu, pada masa kini, kerajaan tidak dapat meraih pendapatan daripada golongan peniaga yang menghidupkan ekonomi negara kerana mereka tidak menunjukkan prestasi baik dalam menangani Covid-19.

"Kerajaan boleh menjimatkan banyak duit perbelanjaan dengan mengalihkan peruntukan daripada sektor 'non-essential' kepada sektor 'essential'.

"Selain itu, peruntukan besar juga perlu ditumpukan kepada usaha menjaga kebajikan rakyat dengan saya mencadangkan setiap 'dapur rakyat' diwujudkan di setiap bandar bagi membolehkan rakyat yang susah mendapat bantuan makanan setiap hari," katanya sewaktu berucap dalam Forum: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? yang disiarkan dalam laman Facebook Reset Malaysia pada Rabu.

Sementara itu, Dr Mahathir turut berpandangan sebarang cadangan kerajaan untuk mewujudkan apa jua bentuk percukaian baharu pada saat ini adalah tidak relevan, kecuali pengenalan cukai keuntungan terlampau (excess profit tax).

Jelas beliau, cadangan kerajaan perlu menaikkan kadar cukai kepada syarikat yang masih bertahan pada saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19 juga tidak sesuai dan akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara sekiranya dilakukan.

Pandangan Dr Mahathir itu turut dipersetujui pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram yang berpendapat tindakan memperkenalkan cukai baharu tidak mengurangkan masalah dihadapi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.
Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkannya hanya sekadar salah satu sistem percukaian pengguna dirasionalisasikan dan tidak mendatangkan sebarang manfaat ketika ini.

"Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah langkah pengenalan semula cukai durian runtuh atau 'windfall tax' terhadap syarikat-syarikat yang menjadi kaya-raya kesan pandemik Covid-19, yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Melalui cara ini, kerajaan akan dapat mempertingkatkan hasil pendapatan untuk digunakan bagi mendepani krisis Covid-19," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berpandangan angka penyusutan kadar gaji dan upah rakyat Malaysia yang diunjurkan sembilan peratus oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, sebenarnya jauh lebih rendah daripada senario sebenar dihadapi rakyat negara ini yang bekerja.

Beliau sebaliknya menganggarkan peratusan penyusutan sebenar kadar gaji dan upah rakyat Malaysia bekerja ketika ini, mencecah 15 peratus susulan banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) terkesan teruk akibat krisis Covid-19.

Dr Nungsari Ahmad Radhi
Dr Nungsari Ahmad Radhi

"Bayangkan lebih separuh daripada jumlah orang Malaysia yang bekerja dan bergaji, purata gaji mereka hanyalah setakat RM2,000 sahaja sebulan.

"Untuk jangka masa pendek, kumpulan ini hendaklah diberi pertolongan segera daripada kerajaan supaya mereka boleh terus hidup pada saat genting ketika ini," katanya.