X

Kindly register in order to view this article
!

Jualan dalam talian jamin survival syarikat

Farhana menunjukkan dadih yang dihasilkan Pengilang Dadih Susu Marissa di Kuala Perlis.
A
A

KUALA PERLIS - Bagi memastikan perniagaan yang diusahakan kekal bertahan ketika keadaan mencabar seperti dilanda pandemik Covid-19, pengusaha perlu beralih kepada perniagaan dalam talian agar produk dapat dipasarkan.

Menurut Pengurus Pengilang Dadih Susu Marissa, Farhana Zainuddin berkata, penjualan dadih secara online dimulakan setelah perniagaannya merosot sebanyak 70 peratus akibat Covid-19.

Katanya, ketika bermula 11 tahun yang lalu, syarikatnya memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM40,000 sebulan.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, dadih dipasarkan dari rumah ke rumah dengan hanya menyasarkan rakan sebagai pelanggan.

Wanita cekal berusia 34 tahun itu berkata, bagi meluaskan pasaran, produk itu mula diletakkan dalam tong di hadapan kedai makan sekitar Perlis.

"Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang dan mula dikenali biarpun proses pembuatan dijalankan di rumah dengan kapasiti yang terhad pada ketika itu," katanya kepada Sinar Harian.

Farhana berkata, selepas beberapa tahun, permintaan terhadap dadih semakin meningkat yang membolehkan operasi pembuatan berpindah ke sebuah bengkel dengan dibantu dua orang pekerja.

"Disebabkan kapasiti bengkel yang tidak lagi mampu menampung pengeluaran yang semakin hari semakin bertambah, operasi pembuatan dadih kemudian berpindah ke Mara Halal Park, Kawasan Perindustrian Kuala Perlis sekitar tahun 2020.

"Dengan bantuan mesin semi automatik dan teknologi retort serta bantuan 12 pekerja, kami berjaya mengeluarkan 20,000 unit dadih sebulan," katanya.

Serbuk dadih perisa durian yang dihasilkan Pengilang Dadih Susu Marissa di Kuala Perlis dipasarkan ke seluruh negara.
Serbuk dadih perisa durian yang dihasilkan Pengilang Dadih Susu Marissa di Kuala Perlis dipasarkan ke seluruh negara.

Cabaran Covid-19

Farhana berkata, penjualan dadih syarikatnya mula merosot sejak setahun yang lalu.

"Sokongan keluarga sangat membantu selain agensi kerajaan yang tidak putus-putus memberikan khidmat nasihat dan bimbingan agar kami terus berdiri setanding syarikat lain.

"Setakat ini, kita masih berusaha sedaya upaya mengekalkan produk di pasaran, Alhamdulillah sambutan terhadap serbuk dadih pula telah menjadi pilihan pelanggan seluruh negara yang dihantar melalui perkhidmatan pos," katanya.

Menurut Farhana, antara kelainan produk dihasilkan syarikat itu ialah menggunakan bahan asas susu lembu asli, tidak hamis dan terdiri daripada pelbagai perisa antaranya asli, harum manis 'original' Perlis, durian dan perisa 'special'.

"Produk yang kita hasilkan juga sering menjadi pilihan orang sakit kerana tiada perasa tambahan serta mudah dihadam.

"Kiranya yang tak lalu makan, boleh ambil dadih ini untuk sumber tenaga kerana kandungannya berasaskan susu lembu," katanya.

Atas faktor berkenaan, dadih yang dihasilkan turut dipasarkan bukan sahaja ke kedai makan dan restoran malah ke kantin hospital.

Berhasrat melebarkan sayap dalam bidang perniagaan, beliau dalam masa sama berharap agar mampu menjadi syarikat Bumiputera pertama yang mengeluarkan dadih 'ready to eat' berteknologi retort di pasaran Malaysia dan juga menjadi pengeluar utama produk serbuk dadih yang menggunakan susu lembu.

Dadih 'ready to eat' dipasarkan sekitar Perlis dan Kedah.
Dadih 'ready to eat' dipasarkan sekitar Perlis dan Kedah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!