Perluasan FTA akan kukuhkan lagi hubungan perdagangan Malaysia-Turki

Mohamed Azmin ketika pertemuan dengan Erdogan dalam kunjungan hormat di Kompleks Presiden di Turki pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamed Azmin ketika pertemuan dengan Erdogan dalam kunjungan hormat di Kompleks Presiden di Turki pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Turki akan berkembang lebih kukuh menerusi perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua kerajaan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menerusi kenyataan pada Rabu, MITI menjelaskan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menekankan pentingnya usaha mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada di antara Malaysia dengan Turki, termasuk menerusi Malaysia-Turki FTA (MTFTA).

"Presiden Turki berkata potensi penuh jumlah perdagangan di antara Malaysia dengan Turki masih belum direalisasikan. Beliau turut mengatakan perlunya kedua-dua negara bekerjasama rapat untuk melonjakkan jumlah dagangan sedia ada,” menurut MITI.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Erdogan di Kompleks Presiden pada Rabu, jelasnya.

Edorgan diiringi Menteri Industri dan Teknologi Turki, Mustafa Varank serta Duta Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavakçı.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menekankan komitmen Malaysia untuk membolehkan import dari Turki mengakses pasaran Malaysia, tambah MITI.

Menurut kementerian itu, beliau juga mengatakan perluasan FTA sedia ada penting untuk memudahkan dan meningkatkan eksport Turki ke Malaysia.

Semasa kunjungan hormat itu, Mohamed Azmin menjelaskan dalam mengukuhkan mandat berkaitan perdagangan, pemeteraian Deklarasi Bersama mengenai Perluasan MTFTA tersebut menandakan komitmen tegas untuk terus menerajui liberalisasi progresif apabila bentuk dasar perlindungan baharu dilaksanakan, jelas MITI.

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian itu Malaysia dan Turki telah menandatangani deklarasi berkenaan pada Selasa untuk memperkukuh mandat dalam meneruskan perluasan perjanjian berkenaan agar ia merangkumi aspek perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

Menurut MITI mengenai pertahanan pula, kedua-dua pihak pada Rabu bersetuju untuk meningkatkan inisiatif kerjasama bagi manfaat bersama yang akan mendorong kemajuan teknologi di Malaysia dan Turki.

"Presiden Turki juga mengatakan terdapat 14 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor pertahanan, yang ketika ini sedang dilaksanakan.

"Beliau berkata merealisasikan semua MoU ini adalah amat penting untuk memastikan kedua-dua negara benar-benar meraih manfaat daripada pengaturan berkenaan,” jelas MITI.

Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pengaturan perdagangan utama seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh berfungsi sebagai alat pelengkap untuk syarikat Turki melabur dan beroperasi di Malaysia, memandangkan mereka akan memperoleh manfaat daripada keutamaan yang diberikan dalam perjanjian tersebut apabila mengeksport ke ASEAN, Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

MITI menjelaskan Malaysia dan Turki juga sepakat untuk mengadakan mesyuarat khusus dalam tempoh terdekat, antara pegawai yang berkenaan, bagi membincangkan secara lebih teliti mengenai perjanjian swap mata wang dua hala.

"Presiden dan Menteri Kanan juga mengatakan bahawa terdapat mesyuarat antara bank pusat kedua-dua negara pada 30 Jun, 2021 mengenai perkara ini dan menzahirkan harapan bagi kemajuannya,” tambah kementerian itu.

Selain itu, Presiden Erdogan menyampaikan solidariti Turki bersama-sama dengan Malaysia dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

"Beliau turut menunjukkan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mencapai pengaturan pengiktirafan bersama ke atas vaksin,” menurut MITI.

Pertemuan itu berakhir dengan nada positif apabila Edorgan dan Mohamed Azmin mengulangi keyakinan mereka bahawa Malaysia dan Turki akan terus memupuk dan memperkukuh lagi hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin bertemu Presiden Turki