X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Penentu kemenangan pilihan raya bukan orang Melayu: Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya yang ditandingi di kawasan Melayu bukannya orang Melayu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebaliknya berkata, yang menentukan kemenangan adalah kaum Cina dan India.

Menurutnya, ini terjadi kepadanya semasa bertanding di kawasan Melayu pada tahun 1969 apabila melawan calon Pas pada waktu tersebut.

“Pada masa itu, kawasan itu mempunyai 35,000 pengundi dan yang bertanding di situ adalah saya dengan calon Pas.

“Sepatutnya saya menang kerana orang Melayu sokong saya tapi orang Melayu di situ bahagi dua. Separuh kepada Pas, separuh kepada saya tetapi yang menentukan siapa menang orang Cina. Orang Cina masa itu tidak suka kepada saya, mereka bagi undi kepada Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah program bertajuk ‘What’s Going On Malaysia’ yang dikendalikan oleh pelawak, Harith Iskander.

Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi berkata, pada pilihan raya akan datang juga akan terjadinya perkara seperti itu.

“Orang lain yang menentukan dan dalam pilihan raya akan datang pun macam itu juga. Kerana orang Melayu lawan sesama Melayu, orang India dan Cina yang akan menentukan siapa yang akan menang,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat bahawa terdapat sekurangnya-kurangnya empat atau lebih yang berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

Katanya, antara calon yang disebut oleh orang ramai adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

“Saya juga rasa ada calon Perdana Menteri yang bukan datang daripada ahli politik terkemuka.

“Mereka berada di luar daripada kumpulan ahli politik dan orang baharu serta dalam kalangan mereka yang tunjuk minat dalam politik dan saya tidak boleh menamakan kerana tidak adil buat mereka,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!