'Lupakan memori Rio 2016, fokus lebih menyerlah Tokyo 2020'

Gambar kecil: Martin
Gambar kecil: Martin
A
A
A

PERENANG negara, Welson Sim Wee Sheng dan Phee Jinq En telah pun melupakan kekecewaan ketika di Olimpik Rio 2016, sebaliknya terus memberi tumpuan untuk menyinar di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Welson yang mengambil bahagian dalam tiga acara ketika di Rio, iaitu 200 meter (m), 400m dan 1500m gaya bebas lelaki, manakala Jinq En dalam acara 100m kuak dada wanita, gagal mara ke peringkat seterusnya berikutan persembahan buruk ketika peringkat saringan.

Lima tahun berlalu, Welson dan Jinq En perlahan-lahan meraih semula keyakinan selepas kecewa dengan persembahan di kejohanan Olimpik sulung mereka itu dan kini tidak sabar untuk beraksi di temasya Olimpik Tokyo.

Ketua jurulatih renang negara, Chris Martin berkata, beliau kagum dengan semangat anak didiknya yang kini tampil dengan lebih baik dan kuat.

Menilai daripada sikap dan kesungguhan yang ditunjukkan semasa latihan, jurulatih asal Amerika itu menaruh keyakinan bahawa kedua-dua perenang negara itu mampu mencipta rekod baharu kebangsaan apabila beraksi Pusat Akuatik Tokyo nanti.

"Welson dan Jinq En cemerlang dalam latihan, mereka telah menunjukkan kesungguhan dan sangat agresif dalam sesi latihan.

"Memang ia satu tempoh persediaan yang lama dan kini kita semakin menghampiri ke penghujung sebelum memulakan perjalanan ke Tokyo pada Sabtu ini. Bagi saya setakat ini mereka telah melakukan yang terbaik,” katanya pada Rabu.

Di temasya itu nanti, Welson dijadual menyertai acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki manakala Jinq En akan bertanding dalam acara 100m dan 200m kuak dada wanita.

Artikel Berkaitan:

Welson merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi 200m gaya bebas lelaki dengan catatan 1:47.36 saat (s) di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:49.29s yang dicatat di Kejohanan NSW State 2019 di Sydney, Australia.

Sementara, Jinq En, yang memegang rekod kebangsaan bagi acara 100m kuak dada dengan catatan masa 1.08.50 saat di Sukan SEA 2019 di Manila, memasang impian untuk memadam rekod 13 tahun bagi acara 200m kuak dada dengan catatan 2:27.80s yang dilakar oleh Siow Yi Ting di Sukan Olimpik Beijing pada 2008.

Sementara itu, Martin mengakui agak khuatir dengan ancaman pandemik Covid-19 dan rintangan utama di Jepun nanti adalah untuk mengurus keberadaan atlet serta memastikan sesi latihan dijalankan dengan selamat.

Menyedari laluan yang berliku menanti di Tokyo, beliau menambah: "Tidak ada istilah mengaku kalah sebaliknya sentiasa melakukan yang terbaik pada bila-bila masa.”