KBS jalan sesi kelima libat urus VSN2030

Sesi Kanvas VSN2030 secara dalam talian dengan tajuk ‘Sukan Untuk Semua’ itu disertai Kian Ming, Shahril Sufian dan Profesor Dr Md Amin.
Sesi Kanvas VSN2030 secara dalam talian dengan tajuk ‘Sukan Untuk Semua’ itu disertai Kian Ming, Shahril Sufian dan Profesor Dr Md Amin.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengadakan sesi kelima libat urus Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) bagi mendapatkan pandangan dalam usaha menggubal satu dasar dan polisi industri sukan negara ke arah yang kompetitif dan mampan.

Sesi Kanvas VSN2030 secara dalam talian dengan tajuk ‘Sukan Untuk Semua’ itu disertai Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan serta Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Ia menyentuh kepada cabaran pandemik Covid-19 terhadap industri sukan, perpaduan antara rakyat tanpa mengira kaum dalam program sukan dan inklusiviti dalam penganjuran aktiviti sukan.

Shahril Sufian dalam sesi libat urus itu berkata, VSN 2030 perlu lebih jelas untuk menarik minat generasi muda terhadap sukan.

Beliau turut mencadangkan tiga teras utama yang perlu dilakukan bagi menarik minat orang ramai iaitu menerangkan dengan jelas tentang apa yang ingin dicapai, menjadikan sukan sebagai ejen perpaduan dan sukan sebagai platform pembangunan akar umbi.

Sementara itu, Md Amin berkata, berdasarkan penyelidikan dilakukan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mengenai penglibatan rakyat Malaysia di dalam sukan untuk tahun 2016 dan 2017, ia menunjukkan hanya 58.8 peratus rakyat Malaysia terlibat dalam aktiviti sukan dan rekreasi berbanding Jepun (64.6 peratus) dan Singapura (69).

Kian Ming pula menyuarakan keyakinan bahawa kadar vaksinasi yang tinggi ketika ini akan memberi sinar cahaya dalam sektor sukan di negara ini.

VSN 2030 bertujuan memetakan perancangan 10 tahun Malaysia dalam memperkasakan lagi polisi industri demi pembangunan industri sukan yang lebih komprehensif, bersepadu dan kolektif.

Artikel Berkaitan: