Peluang badminton rangkul emas pada zaman 'Olimpik Covid-19'

Peng Soon-Liu Ying antara pemain yang mengalas cabaran Malaysia di Tokyo 2020 - Foto BAM. Gambar kecil: Roslin.
Peng Soon-Liu Ying antara pemain yang mengalas cabaran Malaysia di Tokyo 2020 - Foto BAM. Gambar kecil: Roslin.
A
A
A

PELUANG dinilai terbuka luas untuk skuad badminton negara meraih pingat emas pertama dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim yang melihat Olimpik pada ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 kali ini berbeza berbanding Olimpik sebelum ini dengan kesemua pemain tidak dapat melakukan persiapan rapi.

Justeru, beliau melihat peluang seimbang dimiliki semua pemain dengan wakil negara mampu untuk mencipta kejutan menewaskan lawan yang lebih kuat sekali gus merangkul pingat emas.

"Saya melihat Olimpik kali ini berbeza berbanding Olimpik sebelum ini dengan peluang kita untuk meraih emas terbuka. Kita tahu pandemik ini berikan kesan kepada semua orang tidak terkecuali kepada atlet dan ia menyebabkan tiada atlet yang boleh dilabel sebagai pilihan.

"Pemain badminton seluruh dunia juga terkesan dan saya percaya mereka juga tidak dapat melakukan persiapan rapi untuk menghadapi Olimpik kali ini dengan tidak banyak kejohanan yang boleh disertai. Pemain dari China contohnya sudah lama mereka tidak menyertai sebarang kejohanan.

"Jadi, kita tidak tahu macam mana persiapan mereka dan mereka juga tidak tahu macam mana persiapan kita. Jadi, ia menjadikan peluang terbuka untuk pemain negara mencipta kejutan dan meraih emas pada zaman Olimpik Covid-19 ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan harapan tinggi untuk atlet negara menamatkan penantian emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada sukan Olimpik kali ini, Malaysia mempunyai wakil dalam lima kategori iaitu Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam acara beregu campuran, Soniia Cheah untuk perseorangan wanita dan Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean dalam acara beregu wanita.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau turut melihat situasi Olimpik ini akan jadi sama seperti ketika Zii Jia memenangi kejuaraan All England pada Mac lalu pada ketika ramai pemain dunia tidak dapat menyertai kejohanan tersebut.

"Ini sama macam jadi seperti Zii Jia menang All England hari tu. Orang cakap sebab ramai pemain seperti dari China tak dapat sertai kejohanan tersebut sebab itu Zii Jia boleh menang. Tetapi, tak kisahlah kerana apa yang penting Zii Jia menang.

"Saya tengok Olimpik ini juga sama macam All England dan ini peluang terbaik kita untuk meraih emas dan mencipta kejutan. Jadi, kita perlu fokus kepada apa yang bakal dihadapi dan gunakan sasaran kita untuk mencapai apa yang kita mahukan kali ini," katanya.