Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah

No Image Caption
A
A
A

SAHAM-SAHAM di Bursa Malaysia rendah semasa dagangan awal hari ini berikutan kekurangan pemangkin.

Pada 9.20 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,723.16, turun 1.42 mata daripada 1,724.58 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 0.99 mata lebih tinggi kepada 1,725.57.

Maybank Investment Bank berkata memandangkan harga minyak mentah lemah, aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan baru-baru ini dijangka berterusan hari ini, terutama saham berharga murah.

“Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI berada antara 1,710 dan 1,730 hari ini. Sokongan rendah pada 1,705 dan 1,681,” menurutnya dalam nota hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 188 berbanding 104, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,387 kaunter tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 214.25 juta saham bernilai RM98.39 juta.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM9.57, Petronas Chemicals melonjak 14 sen kepada RM9.30 manakala TNB, CIMB dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah pada RM13.50, RM5.84 dan RM21.28.

Artikel Berkaitan:

Public Bank turun empat sen kepada RM24.98, IHH Healthcare kurang lima sen kepada RM5.70 dan Maxis susut tiga sen kepada RM5.50.

Bagi saham aktif, TRC Synergy naik setengah sen kepada 57.5 sen, Dayang Enterprise dan Sapura Energy masing-masing kekal pada RM1.02 dan RM32 sen, Econpile turun 6.5 sen kepada 46.5 sen, Bumi Armada kurang setengah sen kepada 19.5 sen dan MYE.G jatuh dua sen kepada RM1.

Indeks FBM Emas turun 15.9 mata kepada 11,985.04, Indeks FBM Emas Syariah merosot 26.33 mata kepada 11,934.31 dan FBMT 100 kurang 11 mata kepada 11,845.42.

Indeks FBM Ace naik 5.2 mata kepada 4,692.18 namun FBM 70 susut 18.15 mata kepada 14,294.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.93 mata kepada 17,844.73, Indeks Perladangan meningkat 10.7 mata kepada 7,437.72 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian bertambah 0.95 mata kepada 169.99. - Bernama