Pendarahan otak akibat stres hanya tanggapan semata-mata

Ismail Sualman
Ismail Sualman
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan netizen berhubung pendarahan otak berpunca akibat stres atau bebanan pelajaran hanyalah tanggapan semata-mata sehingga dipolitikkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian ​​​​​​Media, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah merangka pelbagai strategi agar permasalahan dalam kalangan pelajar ketika pembelajaran jarak jauh (ODL) menjadi keutamaan.

“Universiti ini membenarkan sesetengah pelajar yang bermasalah dengan talian dan liputan internet yang lemah untuk tinggal di kampus dengan kawalan ketat.

“UiTM juga telah melakukan pelbagai pendekatan untuk membantu pelajar yang berhadapan dengan pembelajaran normal baharu antaranya dengan pemberian dan pinjaman komputer, pemberian wang untuk langganan internet terutama kepada pelajar dari golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa berkomunikasi secara jarak jauh dengan pelajar yang berhadapan masalah emosi dan stres melalui unit psikologi.

Menurutnya, UiTM juga menyesuaikan tugasan dan peperiksaan pelajar agar tidak membeban serta menekankan memandangkan keterbatasan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami sebagai pensyarah dan warga pendidikan juga memahami apabila stres dilihat dari aspek negatif atau tekanan yang terlalu tinggi, ia boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan serta pencapaian akademik seseorang pelajar.

“Seandainya pelajar mengalami stres secara negatif seperti pengajaran di dalam kelas adalah sesuatu yang susah dipelajari, menekankan dan membebankan. Keadaan ini akan mengganggu perkembangan positif pelajar di dalam kelas selain turut memberi kesan ketara terhadap pencapaian akademik mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ismail, pensyarah perlu memberikan tugasan yang bersesuaian mengikut tahap pembelajaran secara dalam talian dan tidak membebankan mereka dengan tugasan yang belum dikuasai.

Sementara itu, beliau berkata, bimbingan secara individu juga perlu diberikan terutama pelajar yang mengalami kesusahan sewaktu sesi pembelajaran agar memahami satu-satu topik pembelajaran selari.

“Program seperti ‘pensyarah penyayang’ dan ‘mentor-mentee’ akan membantu pelajar mewujudkan suasana positif dalam diri pelajar.

“Seterusnya membantu secara tidak langsung pelajar ini mengawal suasana negatif yang mungkin wujud ketika PKP,” jelasnya.