Purata gaji, upah bulanan merosot 9 peratus

Aktiviti ekonomi semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.
Aktiviti ekonomi semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Purata gaji dan upah bulanan pada tahun lalu menyusut sembilan peratus yang menyaksikan penuruan kali pertama sejak direkodkan mulai 2010.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik tersebut berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja sepenuh masa atau setaraf warganegara Malaysia yang bekerja di sektor swasta serta awam berdasarkan pekerjaan utama mereka.

“Daripada 15 juta pekerja warganegara tahun lalu, bilangan penerima gaji dan upah adalah seramai 9.4 juta orang.

“Laporan tersebut memperihalkan nilai penengah dan purata gaji dan upah bulanan serta bilangan penerima mengikut ciri-ciri demografi serta sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, sepanjang 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

Katanya, krisis tersebut menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan dan pembekuan pengambilan pekerja turut mengakibatkan penurunan jumlah guna tenaga.

“Pelaksanaan langkah-langkah pengekangan penularan Covid-19 yang ketat telah menghadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlaku pengurangan waktu bekerja.

“Nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai 2010 dengan kadar negatif sembilan peratus setelah dua tahun merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, aktiviti ekonomi semua sektor turut merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.

Katanya, tiga sektor mencatatkan penurunan dua digit iaitu sektor pertanian sebanyak 20 peratus, perlombongan dan pengkuarian 17.7 peratus dan pembinaan 10.4 peratus.

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peatus manakala sektor industri perdagangan borong runcit dan pembaikan bermotor serta penginapan mempunyai penerima gaji dan upah yang ramai.

“Sektor penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan minuman merekodkan penurunan dua digit dalam nilai purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak negatif 15.9 peratus dan negatif 13.7 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun purata gaji dan upah mengikut strata bandar dan luar bandar menurun pada 2020, namun nilai purata di bandar mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu sebanyak 9.3 peratus kepada RM3,089.

“Peristiwa yang tidak dijangka pada 2020 mengurangkan nilai gaji dan upah yang diterima pekerja warganegara sepenuh masa di Malaysia.

“Senario ini turut dialami di peringkat global berdasarkan data awalan daripada organisasi statistik pelbagai negara menunjukkan trend penurunan dari segi nilai atau kadar pertumbuhan bagi purata gaji di dua pertiga negara di dunia termasuk Jepun, Republik Korea dan United Kingdom,” katanya.