X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita ditahan, lima kes pecah masuk stesen minyak selesai

Seorang wanita ditahan dipercayai terlibat kes pecah masuk stesen minyak di sekitar Bandaraya Melaka.
A
A

MELAKA - Polis menyelesaikan lima kes pecah masuk stesen minyak di sekitar Bandaraya Melaka susulan penahanan seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam pada 11 Julai lepas di sebuah rumah di Taman Peringgit Ria.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita bujang itu bergerak secara sendirian dan dipercayai aktif sejak pertengahan Jun hingga awal bulan ini.

"Suspek sering memakai 'jacket hoodie' ketika menjalankan aktiviti memecah masuk stesen minyak di bangunan lama antara jam 3 dan 7 pagi.

"Nilai kerugian keseluruhan kes adalah sebanyak RM5,000 termasuk wang tunai dan kerosakan cermin akibat dipecahkan, yang ditanggung pemilik stesen," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Afzanizar berkata, polis juga merampas beberapa peralatan yang digunakan suspek seperti pemutar skru dan helmet serta sebuah motosikal yang digunakannya.

"Siasatan lanjut juga mendapati wanita itu dipercayai menggunakan wang hasil curi untuk membeli dadah selain mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod berkaitan kesalahan dadah.

"Ujian saringan air kencing didapati positif dan suspek direman bermula 12 hingga 17 Julai. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!