1MDB tuntut AS$3.7837 bilion daripada Jho Low

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya meminda writ saman untuk menuntut AS$3.7837 bilion daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarga dan rakan sekutunya.

1MDB bersama dengan 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan writ terpinda di Mahkamah Tinggi pada 6 Julai lepas.

Penyataan tuntutan asal yang difailkan pada 7 Mei lepas menyaksikan 1MDB serta anak syarikatnya menuntut AS$1.402 bilion daripada Jho Low, ayah ahli perniagaan itu Tan Sri Larry Low Hock Peng, kakaknya May Lin dan rakan sekutu beliau iaitu Eric Tan Kim Loong.

Writ terpinda itu turut menamakan ibu Jho Low, Puan Sri Goh Gaik Ewe dan adik lelaki ahli perniagaan tersebut Taek Szen sebagai defendan.

Berdasarkan writ terpinda itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan menuntut masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta sebanyak AS$325 juta dituntut daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low, dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa mereka dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memfasilitasikan penipuan yang berskala besar dan berjangka panjang.

Artikel Berkaitan:

"Ini telah menyebabkan berbilion-bilion ringgit dilesapkan secara penipuan dan dialihkan kepada akaun-akaun yang dikawal secara peribadi untuk kepentingan pelbagai penipu termasuk defendan-defendan.

"Semasa melaksanakan penipuan tersebut, pelbagai pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari telah dilakukan oleh Najib, ahli-ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan plaintif-plaintif.

“Dana dan aset kesemua plaintif yang telah dipindahkan kepada defendan-defendan telah dilesapkan dengan pengetahuan kesemua defendan secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari," menurut plaintif dalam tuntutan itu.

Plaintif mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan posisinya untuk melindungi dirinya serta menyembunyikan penipuan terhadap mereka antara lain menghalang usaha untuk menyiasat dan membongkar bukti berkaitan penipuan dan salah laku terhadap plaintif di Malaysia.

Dakwa plaintif, Najib turut menggunakan kuasanya untuk memecat mana-mana pegawai kanan awam termasuk Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang mempersoal kelakuannya atau yang meneruskan siasatan berhubung penipuan terhadap kesemua plaintif.

"Najib telah dipaksa untuk meninggalkan jawatannya setelah Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Sebuah kerajaan baharu ditubuhkan pada 10 Mei 2018 yang mengambil alih kawalan pemilikan terhadap kesemua plaintif, hanya setelah kerajaan baharu berkuasa dan penggulingan Najib sebagai Perdana Menteri," dakwa plaintif.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili plaintif, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 12 Ogos. - Bernama