RPDR-PKPP bakal ambil tindakan undang-undang

Antara kawasan kebun durian haram di kawasan HSK Batu Talam, Raub yang dimusnahkan.
Antara kawasan kebun durian haram di kawasan HSK Batu Talam, Raub yang dimusnahkan.
A
A
A

KUANTAN - Pihak pengurusan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu atas fitnah, tuduhan dan sangkaan buruk yang dilemparkan pihak tertentu terhadap RPDR-PKPP dalam isu kebun durian haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan memberi penjelasan awam berkaitan syak wasangka yang timbul disebabkan beberapa tuduhan palsu dan fitnah pada satu masa yang sesuai kelak.

"Operasi penguatkuasaan ke atas kebun haram tersebut tiada kaitan dengan aktiviti pihak RPDR-PKPP, sebaliknya ia tindakan biasa yang dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terhadap ladang haram melibatkan kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam.

"Sebagaimana kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, penguatkuasaan yang dilakukan itu berdasarkan undang-undang," kata kenyataan itu pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah

Syarikat itu menjelaskan, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan itu di luar kawasan kebun durian haram yang menjadi isu di peringkat mahkamah.

"Kes tersebut melibatkan pekebun dan enam pihak lagi termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. Justeru penguatkuasaan yang berlaku di HSK Batu Talam tiada kaitan dengan pihak RPD.

"Pihak RPD kekal komited terhadap proses undang-undang di mana sepanjang tempoh projek yang dilaksanakan, RPD sentiasa mendapatkan kelulusan daripada agensi negeri dan Persekutuan yang berkaitan dan tidak terhad kepada kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar," jelas syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai sebuah organisasi pihaknya akan terus mematuhi undang-undang.

"Pendekatan ini turut diguna pakai dalam projek pembangunan ladang durian berkeluasan 404 hektar di Pamah Lebar, Tras, Raub yang dijangka akan membuahkan hasil pada 2023," katanya.