Kiosk Amal Kongsi Rezeki sasar golongan terputus bekalan makanan

Wan Sukairi (kiri) ketika pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki Peringkat Negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit, di Kuala Terengganu pada Selasa.
Wan Sukairi (kiri) ketika pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki Peringkat Negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit, di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 80 kiosk Amal Kongsi Rezeki yang menyediakan keperluan makanan untuk golongan memerlukan akan ditempatkan di pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh Terengganu.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kemudahan kiosk itu merupakan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) membabitkan peruntukan RM260,000.

"Kiosk ini disediakan bagi memudahkan individu yang terputus bekalan makanan mengambil barangan asas yang diperlukan.

"Kita menyeru orang ramai yang membeli di pasar raya yang mempunyai kiosk Amal Kongsi Rezeki untuk turut bersedekah menambah bekalan keperluan asas," katanya ketika pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki Peringkat Negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit, di sini pada Selasa.

Wan Sukairi turut menggalakkan syarikat swasta atau individu perseorangan yang berkemampuan untuk berkongsi rezeki bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

"Kita harap lebih banyak pihak berkemampuan yang akan tampil bagi merealisasikan usaha ini bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik sepanjang tempoh pandemik ini.

"Semoga usaha dilakukan ini akan menjadi ikutan lebih banyak NGO (badan bukan kerajaan) dan syarikat korporat lain di negara ini dalam usaha membantu golongan sasar yang terputus bekalan makanan," katanya.

Sebanyak 1,000 kiosk Amal Kongsi Rezeki disasarkan di seluruh negara bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan: