Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa 2 PPN awal Ogos: TPM

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 PPN.

Perkembangan itu juga katanya, memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

"Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

"Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke fasa dua pada awal Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Rabu.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa 2 PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak pada Rabu.

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa 2 PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus. - Bernama