X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu contohi negara Asia Timur tangani krisis Covid-19

Dr Jomo Kwame Sundaram
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu mencontohi negara jiran di Asia Timur dalam menangani krisis Covid-19.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Vietnam dan Laos kini berjaya mengawal penularan pandemik itu.

"Selain di tiga wilayah sekitar Wuhan, tidak pernah ada perintah yang dipanggil 'lockdown' di seluruh China begitu juga negara di sekitarnya.

"Kita pula seolah-olah hanya mengikut cara barat yang mengenakan 'lockdown' dengan mengambil pendekatan hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP demi PKP," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada forum 'Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Reset Malaysia pada Rabu.

Turut bergandingan bersama beliau ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi pakar ekonomi iaitu Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Datuk Nizam Mahshar, manakala Ulya Aqamah Husamudin bertindak sebagai moderator.

Jomo yang juga bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata, pendekatan yang dilakukan Malaysia juga seolah-olah hanya mengutamakan kesihatan semata-mata dan polis pula menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Oleh itu, kita dapati tidak ada pendekatan yang menyeluruh yang dilakukan kerajaan melibatkan seluruh kementerian.

"Ia berbeza seperti di Korea Selatan, pada Februari tahun lepas, menerusi satu video pendek menteri luar negara itu melakukan tindakan tertentu secara bersepadu untuk menangani pandemik itu," katanya.

Berikutan itu katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan menyeluruh dalam memerangi pandemik itu dengan melibatkan seluruh kementerian selain rakyat juga perlu dilibatkan secara bersepadu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!