X

Kindly register in order to view this article
!

Ekonomi Malaysia tidak bergerak sekiranya kelas bawahan masih ramai

Nungsari Ahmad Radhi
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan bahawa ekonomi Malaysia tidak akan berkembang maju sekiranya masih ramai rakyat tidak mempunyai kewangan yang stabil.

Menurutnya, ini kerana terdapat banyak pendapatan rakyat yang berada di tahap yang minimum disebabkan faktor dibuang kerja, tidak dibenarkan berniaga dan sebagainya.

Jelasnya, menurut laporan, terdapat sebanyak 600,000 rumah tangga yang dahulunya dikelaskan sebagai M40 gajinya telah jatuh kepada bawah RM4,800 dan penurunan gaji sebanyak 15 peratus bagi golongan pertengahan.

“Kita sekarang ada dua masalah, yang pertama fenomena pengangguran yang teruk, kejatuhan pendapatan dan jurang yang makin besar.

“Kedua, ketidakmampuan firma dalam negara untuk menyalurkan hasil yang boleh dieksport. Bila ada eksport, baharu kita dapat bergantung kepada permintaan yang berdasarkan kepada pendapatan yang berbeza.

“Jadi apa yang diharapkan adalah lebih tinggi dari yang ada dalam negara kita. Ia bagi membolehkan firma ini meraih keuntungan dan pertumbuhan yang baik, seterusnya dapat memberi perkerjaan dan gaji yang sepatutnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? Yang dijalankan secara dalam talian pada Rabu.

Turut menjadi panelis, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengerusi Persatuan Kajian Pembangunan dan Kemampanan Antarabangsa (Idris), Datuk Nizam Mahshar manakala moderator, Ulya Aqamah Husamudin.

Mengulas lanjut, Nungsari berkata, faktor kekurangan pelaburan menyebabkan negara ini tiada kemampuan ekonomi untuk menjana pertumbuhan seterusnya menjejaskan pekerjaan dan pendapatan rakyat.

“Kita ada masalah pelaburan yang tidak datang dari dalam dan luar negeri. Pelaburan dan pembentukan pengeluaran ekonomi serta pekerjaan merupakan masalah yang berkait dan sangat runcing ketika ini serta masa depan.

“Kerajaan perlu memberi bantuan sewajarnya untuk pastikan bahawa tidak ramai rakyat Malaysia berada di kelas bawahan. Jika kelompongan ini berlaku, maka ekonomi Malaysia tidak akan bergerak ke mana dan hanya menguntungkan orang atasan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Nungsari berkata, tarikan pelabur dari luar akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi dari segi pembuatan, pekerjaan dan juga mendatangkan pendapatan yang lebih baik.

“Jadi kerajaan kena fikirkan bagaimana untuk mewujudkan perniagaan yang bergantung kepada permintaan dalam negeri. Ia tidak tak semestinya besar tetapi mampu menembusi pasaran Asia Barat, Asia Timur sudah mencukupi,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!