X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Malaysia berhak dapat kerajaan lebih baik: Rafidah

Tan Sri Rafidah Aziz
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang lebih baik daripada pentadbiran sedia ada yang dilihat gagal menangani pandemik Covid-19, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, situasi penularan Covid-19 yang semakin memburuk ketika ini berlaku kerana ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional yang hanya mementingkan usaha untuk mengekalkan kuasa dengan segala cara.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat melalui pelaksanaan polisi yang ‘flip-flop’ dan tidak bersepadu untuk menyelesaikan tekanan dihadapi rakyat yang tertekan ekoran daripada krisis wabak Covid-19.

“Jelas dengan menggunakan apa ukuran dan penilaian pun, kerajaan yang tidak cekap adalah kerajaan yang gagal. Malah, dalam situasi paling teruk sekali pun, kerajaan yang cekap dan mempunyai asas yang baik serta bertanggungjawab akan dapat mengemudi negara mengharungi masa sukar.

“Malaysia dan rakyatnya berhak untuk mendapatkan yang lebih baik daripada kerajaan ‘pintu belakang’ yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Negara terus merekodkan peningkatan kes harian Covid-19 yang tinggi pada Rabu dengan 11,618 kes dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan angka tersebut akan bertambah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, hanya kerana kegagalan kerajaan untuk menangani krisis pandemik ketika ini, ia tidak sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal.

Katanya, ini kerana sejarah membuktikan bahawa Malaysia boleh terus kekal bertahan meskipun berhadapan dengan beberapa krisis dalam dekad terdahulu.

"Antara kelemahan-kelemahan kerajaan ketika ini adalah percanggahan pandangan sesama sendiri dan kengganannya memanggil sidang Parlimen hanya kerana bimbang terhadap usul tidak percaya serta persoalan yang bakal diajukan mengenai masalah rakyat.

"Selain itu pelaksanaan polisi yang tidak konsisten juga secara langsung dilihat memberikan kesan kepada rakyat kerana ia hanya menambahkan masalah dan tidak membantu memberikan penyelesaian," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!