Polis siasat klip video tular berkaitan mogok 'Code Black'

Polis sedang siasat rakaman klip video tular berkaitan mogok Code Black.
Polis sedang siasat rakaman klip video tular berkaitan mogok Code Black.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan terhadap rakaman klip video tular berkaitan mogok Code Black sebagai tanda sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan klip video tular berdurasi enam minit 49 saat yang bertajuk Malaysian doctors on strike/mogok? 1st-12th July 2021 Code Black'.

"Klip video tersebut memaparkan rakaman ucapan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr Han@Gigi Han yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Abdul Jalil berkata, melalui rakaman video itu, dia meminta orang ramai agar mengambil bahagian dengan menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan warna hitam atau warna monokrom mulai 1 julai 2021 hingga Isnin lalu.

"Individu terbabit turut meminta orang ramai memuat naik gambar dengan tanda pagar #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada Isnin," katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut dinamakan sebagai Code Black yang membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital.

"Code Black bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan sebagaimana pegawai perubatan berstatus tetap.

"Individu tersebut juga mendakwa sistem yang diamalkan oleh kerajaan boleh menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan melakukan suatu kesalahan terhadap mana-mana golongan.

"Kes juga disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 58) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden NG Guan Seng di talian 03-8886 2222 atau Pusat Kawalan Derah Putrajaya di talian 03-8886 2145," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bjak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.